TUNGGU KEPUTUSAN RASMI KEMENTERIAN KESIHATAN

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Selasa, 12 Februari 2019 

1/2

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan masih menunggu keputusan rasmi daripada Kementerian Kesihatan, membabitkan isu pengambilalihan pengurusan Pusat Perubatan Mawar.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pihaknya tidak boleh memberi sebarang jawapan untuk perkara tersebut buat masa ini berikutan tiada pengesahan diterima daripada kementerian.

"Saya tak boleh jawab sekarang, sebab saya tak ada black and white (hitam putih) sama ada dia (kementerian) nak serah pada saya (Kerajaan Negeri) atau tak.

"Cuma saya dengar-dengar, (Pusat Perubatan Mawar) nak diserahkan kepada MBI (Menteri Besar Diperbadankan). Kita pun tak tahu betul atau tak, sebab tak ada satu surat (pun) kepada Kerajaan Negeri atau MBI," katanya.

Bagaimanapun kata Aminuddin, Kerajaan Negeri bersedia mengambil alih pusat perubatan berkenaan jika diberi pihak kementerian.

"Kalau diserahkan pada kita, (tujuan) ambil alih itu bukan untuk cari untung. Tapi (sebagai) sebuah hospital baru yang menawarkan perkhidmatan terbuka kepada semua kaum dan masyarakat di Negeri Sembilan.

"Cuma sekarang, saya tak ada surat hitam putih mengatakan (Pusat Perubatan Mawar) diserahkan pada kita. Tapi 24 jam daripada sekarang, kita bersedia.

"Kalau malam ini dia (kementerian) telefon saya dan kata ambil alih, (maka) kita ambil alih. Tiada masalah, itu maksudnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 anjuran NSCCCI di Royale Chulan, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Dato' Haji Zulkefly Mohamad Omar.