TANAH UNTUK TAMAN AWAM SUDAH MENCUKUPI

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Selasa, 12 Februari 2019 

1/3

SEREMBAN: Negeri Sembilan mempunyai tanah yang mencukupi untuk diwartakan sebagai taman awam, sejajar dengan usaha dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Jabatan Landskap Negara.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, antara contoh lokasi sedia ada sepertimana diperuntukkan dalam kawasan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) iaitu seluas 343 ekar.

"Taman awam di Seremban dan Nilai saja, kita ada lebih kurang 56 ekar. (Pecahannya) Green Park Sendayan (seluas) 20 ekar, taman tasik 18 ekar, taman budaya 8 ekar dan taman Malaysia 10 ekar.

"Selain itu, kita ada Hutan Rekreasi Kenaboi (seluas) 11,450 hektar. Kalau darab 2.5 ekar, (maknanya) kita ada lebih kurang 27,000 ekar. Itu tak termasuk hutan simpan kekal dan untuk empangan.

"(Kesimpulannya) Kerajaan Negeri mengalu-alukan (usaha kementerian) dan sedia beri sokongan. Tapi dengan syarat, Kerajaan Persekutuan juga bantu kita untuk pastikan taman awam ini dapat dikekalkan dan diselenggarakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 anjuran NSCCCI di Royale Chulan, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Dato' Haji Zulkefly Mohamad Omar.

Media melaporkan sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan berusaha untuk mewartakan taman awam di seluruh negara merangkumi sekurang-kurangnya 250 ekar keluasan di setiap negeri.