DIDENDA AKIBAT PINDAHKAN LEMBU TANPA KEBENARAN

Khamis, 12 Disember 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/1

JEMPOL: Gara-gara memindahkan lembu menggunakan lori tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan atau wakilnya, menyebabkan dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini.

Sharul Basha Shamsuddin, 32, kemudian didenda sebanyak RM3,500 manakala Wan Noor Zakaria, 51, pula sebanyak RM5,000 oleh mahkamah, selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, Sharul Basha membuat kesalahan itu di tepi jalan besar berhadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bandar Seri Jempol, di sini, pada 22 Ogos lalu sekitar jam 2.55 petang.

Tertuduh telah memindahkan dua belas ekor lembu hidup dari negeri Pahang ke Negeri Sembilan menggunakan lori jenis Daihatsu, tanpa sebarang dokumen kebenaran bertulis yang sah sepertimana ditetapkan dalam undang-undang.

Wan Noor pula membuat kesalahan itu di tepi jalan besar Jempol-Bera berhadapan Medan Selera Bandar Seri Jempol, di sini, pada tarikh yang sama lebih kurang jam 3.06 petang.

Tertuduh telah memindahkan 26 ekor lembu hidup dari negeri Pahang ke Negeri Sembilan menggunakan lori jenis Isuzu, tanpa sebarang dokumen kebenaran bertulis yang sah sepertimana ditetapkan dalam undang-undang.

Sehubungan itu, tindakan kedua-dua tertuduh merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Subsekyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Warta Kerajaan Negeri Sembilan N.S.P.U. 9).

Mengikut Subsekyen 36(7) Akta Binatang 1953, hukuman diperuntukkan adalah denda tidak melebihi RM15,000.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah dan Fadzilah Abd Karim di hadapan Majistret, Khir Nizam Jemari.