KURANGKAN AKTIVITI LUAR SEPANJANG MASALAH JEREBU

Rabu, 11 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/4

JEMPOL: Kerajaan Negeri Sembilan menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar, susulan kualiti udara yang terjejas akibat jerebu.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, penduduk terutamanya di kawasan Nilai dan Seremban diminta supaya berhati-hati ketika berada di kawasan terbuka.

"Saya mohon seluruh masyarakat di Negeri Sembilan berdoa agar hujan dapat turun lebih kerap, supaya jerebu dapat diatasi dengan baik, insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut meminta pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) mengurangkan aktiviti pelajar di luar kelas.

"Saya harap akan ada tindakan daripada pihak Jabatan Pendidikan (Negeri Sembilan) untuk pastikan (sebarang) aktiviti kokurikulum, (aktiviti) di luar kawasan bilik darjah di kurangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Masjid Jamek Pekan Bahau, di sini, semalam.

Terdahulu, menerusi kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Isnin lalu, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia mengakibatkan jerebu merentas sempadan hingga memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan sepanjang Pantai Barat Semenanjung dan Barat Sarawak.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik; 51 hingga 100 paras sederhana; 101 hingga 200 tidak sihat; 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas paras berbahaya.