"PULANGLAH TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB"

Khamis          11 Oktober 2018          

11 oct 4-1.jpg

PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Tuan Haji Aminuddin Haru, menggesa pengundi dari luar daerah ini pulang untuk menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 13 Oktober ini.

Beliau mengharapkan bilangan pengundi yang akan keluar mengundi pada hari berkenaan bertambah berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU), Mei lalu.

"Saya menyeru semua pengundi di Port Dickson yang berada di luar negeri ini termasuk Pantai Timur, Selatan tanah air dan Singapura serta di mana sahaja supaya balik ke kampung pada hari pengundian pada 13 Oktober.


"Kita harap demokrasi ini dapat disuburkan dan harap bilangan yang akan membuang undi lebih ramai

berbanding PRU sebelum ini.

"Saya juga berharap pengundi dapat keluar awal kerana keadaan cuaca yang dijangka tidak menentu pada hari pengundian.

"Namun, SPR sudah mengambil pendekatan dengan mengurangkan kesesakan di setiap pusat mengundi sekali gus memudahkan pengundi melaksanakan tanggungjawab," katanya selepas melawat Pusat Media Jabatan Penerangan di Grand Beach Resort, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai jentera PRK Pakatan Harapan (PH), Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berpuas hati dengan komitmen mereka yang dilihat begitu komited untuk membantu calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berdepan cabaran enam calon lain pada PRK berkenaan.

"Saya rasa semangat mereka cukup baik, tambahan pula Datuk Seri yang bertanding dan saya lihat jentera berikan komitmen tinggi dan kita akan pastikan mereka dapat terus melaksanakan tanggungjawab itu sehingga hari pengundian termasuk membawa pengundi ke pusat pengundian, Sabtu ini jika keadaan cuaca kurang baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati dengan keadaan Pusat Media berkenaan yang dilengkapi kemudahan komputer serta Internet bagi memudahkan petugas melaksanakan tugasan harian.

"Saya juga berpuas hati dengan laporan pemberitaan mengenai PRK ini yang dilihat seimbang dan tidak menimbulkan pelbagai isu membabitkan peribadi setiap calon.

"Walaupun ada serba sedikit isu peribadi calon dilaporkan, namun ia terkawal dan kempen dijalankan secara sihat," katanya.