PENGUNDI PERLU BUAT PILIHAN TEPAT

Khamis          11 Oktober 2018          Foto: Nabilsyafiq MH

11 oct 1-1.jpg

PORT DICKSON: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson perlu membuat keputusan yang bijak pada hari pengundian 13 Oktober ini, bagi memastikan pembangunan dan kemajuan Port Dickson, dapat terus dilaksanakan.

Menteri Besar merangkap Pengarah PRK Port Dickson, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, PRK itu bukan sekadar membawa calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat, tetapi Anwar adalah bakal Perdana Menteri kelapan.

"Saya mahu pengundi membuat pilihan tepat dengan memastikan undi anda adalah untuk Anwar untuk membolehkan beliau diangkat sebagai Ahli Parlimen dan bakal dipilih sebagai Perdana Menteri, kelak.

"Kita (pengundi Port Dickson) harus bersyukur kerana Datuk Seri memilih Port Dickson. Saya sendiri pun tidak menyangka beliau memilih Port Dickson, namun mungkin disebabkan daerah ini didiami pelbagai bangsa serta kebanyakkannya orang luar, menyebabkan beliau memilih di sini.

"Kita harus bersyukur kerana yang bakal kita undi ini adalah bakal Perdana Menteri dan saya yakin Datuk Seri dipilih, beliau bakal membawa banyak pembangunan di Port Dickson," katanya berucap pada kempen PRK di Kampung Orang Asli Sunggala, petang tadi.

Pada PRK Port Dickson ini, Anwar ditentang enam calon lain termasuk bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Aminuddin berharap penduduk Orang Asli kampung itu menzahirkan sokongan kepada calon PH.