KIBAR JALUR GEMILANG TANDA TERIMA KASIH KEPADA NEGARA

Ahad, 11 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/6

PORT DICKSON: Jabatan kerajaan dan pemilik bangunan diminta memasang Jalur Gemilang di premis masing-masing sebagai tanda terima kasih kepada negara.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pemasangan Jalur Gemilang juga sebagai tanda terima kasih kepada rakyat yang telah berkorban untuk kemerdekaan serta pembangunan negara tercinta.

"Hanya dengan kibarkan Jalur Gemilang di premis kita, di rumah kita, di kedai kita, di bangunan kita, ini menunjukkan satu semangat terima kasih kepada negara.


 

"Saya harap seluruh rakyat Negeri Sembilan sama-sama mengibarkan bendera di mana jua, (cari) tempat yang sesuai untuk pasang bendera sebagai rasa bangga kita duduk dalam sebuah negara yang merdeka dan aman," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2019 di PD Waterfront, di sini, tempoh hari.

Sehubungan itu katanya, orang ramai jangan hanya mengharapkan pemberian Jalur Gemilang secara percuma, sebaliknya berkorban sedikit dengan membeli sendiri atas rasa tanggungjawab pada negara.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pelbagai acara akan diadakan dalam suasana santai dan mesra rakyat sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Sembilan.

"Pertandingan koir antara jabatan kerajaan telah berlangsung pada 3 dan 4 Ogos lalu di Auditorium D'Sury, Kompleks JKKN Negeri Sembilan. Jabatan Perhutanan muncul sebagai juara, tahniah kita ucapkan.

"Majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat pula, kita akan buat pada 29 Ogos ini dan diadakan di peringkat daerah.

"Pada 31 Ogos, perarakan Hari Kebangsaan 2019 akan berlangsung di Padang MPS pada jam 7 pagi," katanya.

Menurutnya pada hari yang sama, majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri serta doa selamat sempena Hari Kebangsaan akan diadakan di Masjid Negeri mulai jam 6.30 petang. 

"Kedua-dua majlis diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan," katanya.

Selain itu, kata Aminuddin, acara lain turut diadakan melalui Jabatan Penerangan Negeri Sembilan seperti Kembara Merdeka, Pertandingan Pidato Kenegaraan, Pengisahan Kenegaraan, Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan dan Program Merdeka @ Komuniti.