HOSPITAL REMBAU DIJANGKA BEROPERASI JANUARI 2020

Isnin, 11 November 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/4

SEREMBAN: Hospital Rembau dijangka memulakan operasi sepenuhnya pada Januari tahun depan.

Menteri Kesihatan, YB Dato' Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun perkhidmatan wad kecemasan dan wad bersalin akan beroperasi lebih awal iaitu pada bulan depan.

Menurutnya, ketika ini proses kemasukan alat perubatan dan bukan perubatan sedang dijalankan melibatkan hampir 7,000 unit dan perlu diaturkan mengikut jenis perkhidmatan yang disediakan.

"Kita sedia maklum, Hospital Rembau ini sangat dinantikan (oleh) penduduk Rembau untuk (memudahkan) mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan berhampiran dengan kawasan kediaman.

"Kita sedang jalankan proses kemasukan peralatan perubatan dan bukan perubatan, termasuk proses ujian dan pentauliahan alat tersebut yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

"Ketika ini usaha sedang (giat) dijalankan, kerana itu Hospital Rembau dijangka akan mula operasi sepenuhnya pada Januari tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada selepas merasmikan Mini Karnival Gaya Hidup Sihat Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Masjid Kariah Taman Bandar Senawang, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dato' Dr Zainudin Mohd Ali.