PELUANG SERLAHKAN BAKAT SENI DI N9 SUNGEI UJONG WALK

Selasa, 11 Jun 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/3

SEREMBAN: Para penggiat seni dijemput membuat persembahan di N9 Sungei Ujong Walk yang terletak di Jalan Dr Murugesu, di sini, sebagai platform untuk mempamerkan bakat masing-masing.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, langkah tersebut sepertimana dipraktikkan sejak sekian lama di Hong Kong.

Menurutnya, persembahan jalanan (busking) yang diketengahkan di Sai Yeung Choi Street, Mong Kok telah berjaya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di situ. 

"Kita harap dapat mulakan budaya persembahan jalanan yang agak serupa dengan persembahan jalanan di Hong Kong, pada peringkat awal," katanya.

Melalui aktiviti seni jalanan katanya, Hong Kong telah melahirkan superstar bertaraf antarabangsa antaranya mendiang Anita Mui yang dahulunya membuat persembahan di Temple Street.

Sehubungan itu, beliau berharap agar setiap penggiat seni tanpa mengira peringkat umur dapat memanfaatkan N9 Sungei Ujong Walk dengan sebaik-baiknya.

"Ramai ibu bapa habiskan sejumlah besar perbelanjaan untuk hantar anak belajar pelbagai alat muzik misalnya piano, gitar, biola, saksofon, guzheng, erhu, pipa, tabla, sitar dan veena.

"Alangkah baiknya kalau anak-anak ini dapat pamerkan bakat mereka dan asah kemahiran tersebut melalui persembahan jalanan atau busking.

"Mereka yang berminat, boleh hubungi saya melalui WhatsApp atau panggilan telefon di nombor 012-3626977," katanya.