DESAKAN KEPERLUAN HAKIM SYARIAH NEGERI SEMBILAN

Khamis, 11 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/5

SEREMBAN: Keperluan hakim di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan harus diberi perhatian serius berikutan lambakan kes tertunggak.

Menurut Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS), Yang Amat Arif Tuan Abbas Nordin, situasi itu berpunca daripada jumlah hakim yang terhad.

Katanya buat masa ini, Mahkamah Tinggi hanya mempunyai dua hakim manakala Mahkamah Rendah pula seramai tujuh hakim.

Tambahnya, jumlah pendaftaran kes yang terlalu tinggi mengakibatkan pihak mereka tidak dapat mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sepertimana ditetapkan.

"Di Negeri Sembilan pada tahun lepas, keseluruhan didaftarkan sebanyak 6,900 kes, manakala kes yang dapat diselesaikan lebih kurang 59 peratus berbanding KPI ditetapkan iaitu 80 peratus.

"Setakat 30 Jun tahun ini, kes didaftarkan di Mahkamah Syariah seluruh Negeri Sembilan meningkat sehingga 4,000 kes. (Sedangkan) setakat ini, kita hanya capai penyelesaian kes sebanyak 55 peratus. Kita jangkakan, kes akan meningkat lebih daripada 8,000 kes," katanya.

Sehubungan itu sebagai langkah penyelesaian, kata beliau, pihaknya telah mengadakan perbincangan tiga hala antara JKSNS, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membabitkan penambahan perjawatan.

Berdasarkan situasi terkini, menurutnya, mereka memerlukan tenaga tambahan iaitu seorang hakim untuk Mahkamah Tinggi dan seorang hakim untuk Mahkamah Rendah.

"Turut diperlukan adalah kakitangan sokongan seperti penolong pendaftar dan pembantu pendaftar berikutan penggunaan sistem E-syariah.

"Sistem ini digunakan untuk memuat naik segala dokumen berkaitan. Contohnya keputusan perintah hakim, penghakiman hakim, nombor kes dan lain-lain lagi.

"Kita faham kedudukan kewangan dan juga dasar kerajaan sekarang yang tak mengambil pegawai serta penambahan pegawai-pegawai baru. Tapi saya mohon jasa baik pihak kerajaan untuk memahami keadaan kita di Mahkamah Syariah," katanya.

Katanya lagi, pihaknya telah memohon pembinaan sebuah Mahkamah Tinggi Syariah di Jempol dan permohonan tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Tujuannya bagi memudahkan urusan penduduk setempat berikutan Mahkamah Tinggi Syariah sedia ada terletak di Bandar Sri Sendayan.

"Pembinaannya dijangka bermula pada hujung tahun ini atau hujung tahun depan," katanya.

Demikian kenyataan beliau kepada media selepas majlis Pentauliahan Peguam Syarie dan Panel Hakam Negeri Sembilan 2019 di Klana Resort, di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato' Haji Mohamed Haji Husein yang mewakili Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.