ILI CATAT PENINGKATAN LIMA KLUSTER DI NEGERI SEMBILAN

Khamis, 11 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/1

SEREMBAN: Sebanyak 15 kluster penyakit Influenza Like Illness (ILI) dilaporkan sepanjang 2019 iaitu mulai awal tahun ini sehingga minggu ke-27, berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Tuan S Veerapan berkata, peningkatan yang dicatatkan tahun ini berbanding tahun sebelumnya adalah sebanyak lima kluster iaitu 62.5 peratus.

Menurutnya dalam minggu ke-27 sahaja, sebanyak 18 kes ILI dilaporkan bagi durasi 30 Jun hingga 6 Julai 2019.


   

"Sepanjang tahun ini, lima kluster dilaporkan di Seremban yang melibatkan 37 kes. Seterusnya empat kluster di Jempol melibatkan 98 kes manakala tiga kluster di Rembau melibatkan 16 kes.

"Selain itu, dua kluster di Jelebu melibatkan 14 kes dan satu kluster di Port Dickson melibatkan tiga kes. Premis yang kerap terlibat adalah taska; sekolah rendah dan menengah," katanya.

Daripada jumlah itu, katanya, dua kes telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut dan lain-lain kes pula dirawat sebagai pesakit luar.

"Bagaimanapun tiada kematian akibat ILI dilaporkan dan tiada premis ditutup pada minggu ke-27 tahun ini.

"Jadi, kita ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

"Selain kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, adab batuk yang baik serta amalan cara hidup sihat juga patut dipraktikkan," katanya.

Tambahnya, mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan dinasihatkan supaya berehat di rumah.

"Elakkan pergi ke tempat tumpuan ramai. Kemudian, pakai penutup hidung dan mulut dengan betul bagi menghindarkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan.

"Dapatkan pemeriksaan dan rawatan dari mana-mana klinik perubatan yang berdekatan," katanya dalam satu kenyataan kepada NS Daily, di sini, hari ini.

Mengulas secara ringkas, kata Veerapan, ILI meliputi pelbagai jenis Influenza termasuk Influenza A dan B yang boleh berlaku dalam komuniti secara bermusim dari semasa ke semasa.

"ILI menyebabkan si penghidap mengalami demam; selesema; batuk dan boleh menjadi teruk hingga mengakibatkan radang paru-paru (pneumonia).

"Penyakit ini disebabkan oleh virus dan ditularkan melalui jangkitan pernafasan. Walau bagaimanapun, penyakit ini tiada kaitan dengan pencemaran udara atau sungai," katanya.