SYED SADDIQ TIDAK GENTAR DICABAR

Sabtu, 11 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

PUTRAJAYA: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak gentar dicabar selepas mengumumkan untuk mempertahankan jawatan pada pemilihan parti berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu dilakukan bagi meraikan amalan demokrasi dalam parti sebagaimana disarankan oleh Pengerusi BERSATU, YB Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jangan tutup pintu demokrasi. Saya boleh dicabar, sesiapa saja boleh dicabar.

"Kalau ada (calon) yang lebih baik, kita angkat. Kalau yang ada (calon) itu baik, kita kekalkan dan itulah amalan demokrasi dalam BERSATU," katanya.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sikap terbuka untuk dicabar merupakan antara prinsip diletakkan oleh pengasas parti ketika BERSATU ditubuhkan pada 2016.

BERSATU akan mengadakan mesyuarat dan perhimpunan agung tahunan serentak dengan pemilihan kepimpinan tertinggi parti pada 20 Jun depan, manakala persidangan dan pemilihan di peringkat cawangan ditetapkan mulai 25 Januari hingga 1 Mac, diikuti peringkat bahagian pada 4 April.

Menjelang pemilihan BERSATU, terdapat laporan yang mengatakan Syed Saddiq bakal dicabar oleh dua individu ketika pemilihan pertama sayap itu pada Jun ini.