ATLET MUDA NEGARA POSITIF STEROID

Sabtu, 11 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

KUALA LUMPUR: Atlet pecut muda negara berusia 17 tahun bakal berdepan hukuman penggantungan selama empat tahun selepas didapati positif doping ketika menyertai Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019, Ogos tahun lalu.

Presiden KOM, Dato' S. M. Muthu berkata, atlet lelaki yang beraksi dalam acara 4x100 meter itu didapati menggunakan dua bahan terlarang iaitu methasterone dan oxymetholone, sejenis steroid androgenik anabolik.

Menurutnya, KOM telah memanggil atlet berkenaan dan seorang jurulatih kebangsaan, masing-masing pada 26 Disember lalu dan semalam bagi sesi pendengaran pertama sebelum mereka dipanggil semula minggu depan bagi sesi kedua.

“Dua jenis bahan terlarang iaitu methasterone dan oxymetholone telah dijumpai dalam ujian tersebut, dipercayai digunakan bagi meningkatkan daya prestasi tapi siasatan masih berjalan dan (kini) telah masuk fasa akhir.

“Kita perlu kumpulkan seberapa banyak maklumat sebelum memutuskan sebarang tindakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa KOM, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, semalam.

Pada masa sama, Naib Presiden KOM, Datuk R. Annamalai berkata sekiranya didapati bersalah, atlet tersebut bakal digantung daripada menyertai sebarang kejohanan dalam dan luar negara selama empat tahun.

“Jika steroid yang kuat macam ini memang empat tahun (hukuman) yang dikenakan, jadi tak boleh elak. Tapi jika atlet itu boleh buktikan sesuatu (dianiaya), dia mungkin terlepas.

“Kita mesti siasat perkara ini betul-betul untuk melihat punca sebenar dan terpaksa panggil sekali lagi atlet dan jurulatih berkenaan sebelum buat sebarang keputusan,” katanya.