15,000 HADIR NEGERI SEMBILAN BERSELAWAT

Oleh: Mohd Amin Jalil       Jumaat, 11 Januari 2019 

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, DYMM Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat menghadiri Program Negeri Sembilan Berselawat sempena Hari Keputeraan baginda ke-71 di Padang Besar Seri Menanti di sini, malam tadi.

Turut berkenan hadir adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun dan barisan Exco kerajaan negeri.

Turut hadir, Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip

Othman; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Program dihadiri kira-kira 15,000 orang itu bermula jam 9.15 malam dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan, bacaan Asmaul Husna dan doa yang dibacakan Mufti negeri, Datuk Haji Mohd Yusof Ahmad.

Ia disusuli dengan qasidah oleh Kumpulan Al-Magharibah dari Maghribi pimpinan Sheikh Mohib Khouli.

Terdahulu, orang ramai menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Masjid Seri Menanti di sini serta bacaan surah Yasin dan doa bagi memohon kesejahteraan Tuanku Muhriz sempena hari keputeraan baginda.

Program itu merupakan anjuran kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, program kerohanian berkenaan amat ditunggu-tunggu umat Islam.

Katanya, kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan program itu setiap tahun sebagai langkah memperbanyakkan program kerohanian di negeri ini.

"Program berselawat secara beramai-ramai ini bagi menzahirkan rasa syukur kita kepada Allah SWT kerana dapat berada di negeri dan negara yang aman damai, serta paling utama dapat memupuk semangat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW," katanya.

1/6