KOMITED BANTU PEKEBUN KECIL GETAH

Oleh: Mohd Amin Jalil       Jumaat, 11 Januari 2019 

REMBAU: Kementerian Industri Utama berharap langkah kerajaan menetapkan harga lantai getah yang dinaikkan kepada RM2.50 sekilogram mulai bulan ini berbanding RM2.20 sebelum ini, dapat memberi manfaat kepada ramai pekebun kecil getah.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, bantuan itu diharap dapat membantu pekebun kecil terbabit yang berdepan masalah harga komoditi antarabangsa yang semakin menurun.

"Kerajaan sentiasa komited dalam memperjuangkan nasib pekebun kecil getah ekoran kejatuhan harga komoditi itu ketika ini. 

"Kita berharap penetapan harga lantai ini yang dinaikkan 30sen bagi setiap kilogram akan dapat membantu mereka.


 

"Saya mahu lebih ramai pekebun kecil getah dapat membuat tuntutan pada kadar baru ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog dan Ramah Mesra Pekebun Kecil di Dewan Chengkau, di sini, petang semalam.

Turut hadir adalah Penyelaras DUN Kota merangkap Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Tuan Sahrizal Masrudin.

Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat DUN Kota dan Pentadbiran Daerah Rembau itu bertujuan memberikan info tentang pasaran harga komoditi utama selain mendapat maklum balas daripada pekebun kecil.

Shamsul menjawab pelbagai soalan diajukan pekebun kecil mengenai harga getah, kelapa sawit dan permasalahan infrastruktur ladang serta makhluk perosak.

Dalam pada itu, beliau menggesa pekebun kecil dapat mempelbagaikan pendapatan mereka dengan menceburkan diri dalam penanaman bercampur untuk meningkatkan pendapatan.

Menurutnya, antara tanaman yang berpotensi ialah kenaf yang kini dilihat sebagai suatu sumber ekonomi baharu dan mampan kepada negara.

"Kementerian sedang memberi fokus kepada industri kenaf dan berusaha menyediakan petani kenaf menjadi usahawan, bagi mendapat pulangan yang lebih.

"Kenaf kini merupakan tanaman pilihan sebagai pengganti tembakau yang mempunyai banyak kegunaan biokomposit iaitu untuk industri automotif dan pembinaan, perabot, pulpa dan kertas, tekstil serta bahan makanan untuk ternakan,” katanya.

1/5