NASIB PENIAGA PASAR MALAM AMPANGAN DAPAT PEMBELAAN

Rabu, 11 Disember 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Ihsan YB Dr Mohamad Rafie Ab Malek

1/5

SEREMBAN: "Selaku Exco Usahawan dan ADUN Ampangan, saya tak akan membenarkan sebarang usaha untuk mematikan mata pencarian peniaga-peniaga ini.

"Namun peniaga dan semua pihak berkaitan perlu mematuhi kesemua peraturan yang telah ditetapkan, khususnya berkaitan kebersihan demi untuk kepentingan masyarakat awam," tegas YB Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Demikian respons beliau ketika mengulas permasalahan yang menimpa peniaga pasar malam di Bandar Baru Ampangan, di sini, sehingga menjadi tular di laman media sosial sejak semalam.

Tular sebelum ini apabila seorang pemilik akaun Facebook mengucapkan 'takziah' kepada peniaga pasar malam di Bandar Baru Ampangan, di sini.

Individu terbabit mendakwa bahawa golongan terbabit tidak boleh lagi berniaga pada setiap Selasa dan Jumaat berdasarkan surat arahan penutupan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Arahan Kerajaan N.9. Berpuluh tahun sebagai pembeli tiba di pasar malam. Surat arahan tutup diberi kepada peniaga.

"Punca penutupan sebab apa ya? Kotor selepas niaga? Pencerahan," demikian status yang dimuat naik oleh individu berkenaan sekitar jam 4.58 petang semalam.

Sehubungan itu, Dr Mohamad Rafie bergegas membuat tinjauan bersama wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) di pasar malam tersebut semalam, bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik.

Berdasarkan hasil tinjauan itu kata beliau, adalah diputuskan bahawa peniaga-peniaga yang terlibat diberi sokongan untuk terus berniaga di pasar malam berkenaan.

"Secara muafakat, kesemua pihak yang berniaga di kawasan Bandar Baru Ampangan khususnya wakil peniaga pasar malam dan wakil peniaga pasar tani serta semua pihak terbabit untuk bermusyawarah dalam tempoh masa terdekat ini.

"(Tujuannya) untuk memastikan kawasan ini sentiasa dalam keadaan bersih serta menilai kaedah pembuangan dan pembersihan sampah," katanya.

Tambahnya lagi, pihak berwajib juga akan menilai semula bagaimana untuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur tapak pasar malam/pasar tani di situ bagi kemudahan kegunaan peniaga serta keselesaan oang ramai datang membeli-belah.

"Tiada siapa yang boleh menafikan, usahawan-usahawan kecil ini menyumbang besar kepada pembangunan ekonomi negara.

"Usaha akan diambil untuk (memikirkan) bagaimana kemudahan asas akan dipertingkatkan serta memastikan juga dicari jalan penyelesaian yang terbaik, (bagi menangani) permasalahan kekotoran supaya kawasan ini sentiasa dalam keadaan bersih dan indah.

"Ternyata kaedah diplomasi secara berhemah dan bermuafakat merupakan kaedah terbaik untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul," katanya kepada NS Daily melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.