NEGERI SEMBILAN DESTINASI PELABURAN TERBAIK

Oleh: Mohd Amin Jalil         Selasa, 11 Disember 2018 

SEREMBAN: Negeri Sembilan terus menjadi destinasi pelabur yang memberangsangkan apabila menerima nilai keseluruhan pelaburan sebanyak RM2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, berdasarkan data pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh Januari hingga Jun 2018, sebanyak 20 projek sektor perkilangan telah diluluskan di negeri ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.6 bilion.

Menurutnya bagi sektor perkhidmatan pula, jumlah pelaburan yang diterima bagi tempoh berkenaan adalah sebanyak RM400 juta.


"Selain itu bagi tempoh Julai hingga November 2018 pula,

Kerajaan Negeri menerusi Negeri Sembilan Investment Centre (NSIC) menerima 12 pertanyaan pelaburan berpotensi di sektor perkilangan yang sedang dalam peringkat rundingan serius dengan anggaran jumlah pelaburan berpotensi sebanyak RM3.9 bilion.

"Saya amat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian ini dan berasa ia jelas membuktikan bahawa Negeri Sembilan merupakan salah sebuah destinasi utama pilihan pelabur.

"Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kemasukkan pelaburan ke negeri ini dan sentiasa memberi layanan baik serta khidmat nasihat kepada pelabur melalui NSIC," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Pelabur Bersama Menteri Besar di Klana Resort, di sini, petang ini.

Seramai 100 wakil pelabur tempatan hadir memeriahkan majlis ini, anjuran bersama NSIC dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Turut hadir, Exco Pelaburan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Ketua Pegawai Eksekutif NSIC, Tuan Haji Najmuddin Sharif Sarimon.

Aminuddin berkata, dalam keghairahan meningkatkan pelaburan di negeri itu, pihaknya akan sentiasa memastikan agar ianya seimbang dengan kesejahteraan alam sekitar serta penduduk setempat.

Beliau berkata, pengoperasian yang lebih mesra alam sekitar dan pembebasan karbon dioksida (CO2) yang melampau akan diberikan tumpuan, bagi mengelakkan Negeri Sembilan menjadi antara penyumbang besar dalam pemanasan global.

Sehubungan itu katanya, pelaburan dalam projek tenaga boleh baharu atau 'Renewal Energy’ akan diberikan galakan.

Menurutnya di bawah program tenaga hijau ini, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan dua cadangan pembukaan pusat solar yang dianggarkan bernilai RM900 juta.

"Saya yakin program hari ini sangat berguna dalam usaha merapatkan hubungan dengan pelabur ke arah memajukan lagi negeri ini, dengan menarik lebih ramai pelabur pada masa depan," katanya.

1/4