PERANAN MEDIA DIHARGAI

Oleh: Mohd Amin Jalil         Selasa, 11 Disember 2018 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menghargai peranan media massa dalam membantu menyalurkan maklumat berkaitan pembangunan dan kemajuan negeri.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, perlunya jalinan kerjasama dengan media massa dalam usaha menghebahkan setiap dasar yang baik untuk rakyat.

 

"Tiada siapa dapat menafikan peranan wartawan dan media massa dalam pembangunan dan pemodenan negara, malah media massa adalah satu daripada institusi sosial sangat penting yang menghubungkan antara pemerintah dengan rakyat.

"Kuasa media massa amat besar terutama dalam membentuk pemikiran sesebuah masyarakat.

"Justeru, kerajaan perlu mengadakan kerjasama dengan pihak media agar setiap dasar yang baik untuk rakyat dapat disampaikan dengan sempurna," katanya.

Menteri Besar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Jalinan Mesra Kepemimpinan Kerajaan Negeri dan Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini, malam tadi.

Hadir sama adalah isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof; Speaker Dewan Undangan Negeri, Tuan Haji Zulkefly Mohamad Omar serta ahli-ahli EXCO kerajaan negeri.

Aminuddin berkata, pihaknya amat menghargai ruang diberikan oleh media untuk kerajaan menilai dan mengutarakan penjelasan terhadap perkara yang boleh dilaksanakan kepada rakyat.

"Saya harap setiap agensi kerajaan dapat menjalinkan hubungan akrab dengan media, bagi memudahkan usaha menyalurkan maklumat dan olahan yang baik serta berkesan untuk pengetahuan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menggesa petugas media massa agar mengamalkan sikap bertanggungjawab, berintegriti serta amanah ketika menjalankan tugas.

"Sikap itu penting supaya setiap bahan berita yang disiarkan memberi manfaat kepada rakyat dan tidak menimbulkan masalah," katanya.

1/4