GALAK VETERAN ATM TERUS AKTIF

Oleh: Mohd Amin Jalil         Selasa, 11 Disember 2018 

SEREMBAN: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digalakkan agar terus aktif memberikan sumbangan terhadap kemajuan dan kepentingan masyarakat.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pengalaman dan kemahiran dimiliki harus menjadi pemangkin untuk pemantapan dalam berorganisasi sama ada peringkat persatuan, kampung atau taman perumahan.

"Kemahiran dan pelbagai pengalaman dimiliki veteran ATM adalah aset penting yang harus dicurahkan sebaik mungkin untuk kepentingan masyarakat, termasuk dalam memperkasakan organisasi.

"Saya ucapkan syabas kepada veteran atas sumbangan dan jasa yang telah diberikan diberikan.

"Saya harap kita dapat sama-sama menanam pemikiran baru seiring dengan perubahan kepemimpinan negeri demi memastikan hala tuju pembangunan dan kemajuan negeri, berjaya direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sepetang Bersama Pemimpin di Taman Palma Jaya Perdana, di sini.

Turut hadir adalah isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof; Speaker Dewan Undangan Negeri (DuN) Negeri Sembilan, Tuan Haji Zulkefly Mohamad Omar dan Yang Dipertua PVATM negeri, Mejar (B) Datuk Sazali Ismail.

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM100,000 untuk Tabung Pahlawan Malaysia.

Aminuddin turut mengingatkan generasi masa kini agar tidak melupakan jasa veteran yang banyak berkorban dalam mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh terutama komunis, suatu ketika dahulu.

"Sesungguhnya jasa veteran perlu dikenang, terutama generasi muda hari ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan membantu PVATM Negeri Sembilan untuk menjayakan kutipan Tabung Pahlawan Malaysia yang bakal dilancarkan awal tahun depan.

“Kita akan mendapatkan kerjasama individu, tokoh korporat, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha menjaga kebajikan veteran ATM yang banyak berjuang untuk negara,” katanya.

1/4