USIM SASAR SUMBANG 4,500 PPE UNTUK BARISAN HADAPAN

Sabtu, 11 April 2020
Oleh: Pusat Komunikasi Strategik USIM

1/3

NILAI: Setelah menghasilkan produk cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan pelindung muka (face shield) untuk barisan hadapan, kini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghasilkan pula pakaian perlindungan diri (PPE).

Usaha murni digerakkan oleh pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM serta kakitangan Klinik Pakar Kesihatan USIM (KPKU) itu menyasarkan untuk menyiapkan 4,500 unit PPE menjelang hujung April ini.

Projek penghasilan PPE yang terdiri daripada gaun; head cover dan boot cover telah bermula pada 2 April lalu secara berperingkat.

Menurut Pakar Oftalmologi merangkap ketua projek, Profesor Madya Dr Azlina Mokhtar, beliau terpanggil untuk menggerakkan usaha itu atas rasa prihatin dan ingin membantu rakan-rakan yang bertugas di barisan hadapan menghadapi kekurangan bekalan PPE di hospital.

Justeru, usaha awal dimulakan dengan mengumpul sumbangan kewangan dan membentuk pasukan sukarelawan terdiri daripada pensyarah perubatan FPSK USIM dan staf KPKU untuk menjahit PPE.  

Hasil daripada usaha awal berkenaan, sebanyak 470 unit PPE berjaya dihasilkan dan telah disumbangkan ke Hospital Ampang. 

Tidak terhenti di situ katanya, melalui sokongan yang diterima daripada Pengurusan Universiti, pasukan tersebut ingin menghasilkan lebih banyak PPE untuk disumbangkan kepada frontliners.

“Sekarang ini, USIM dalam penghasilan PPE untuk Kumpulan Kedua sebanyak 1,000 unit dan kita bekerjasama dengan syarikat jahitan tempatan iaitu Kamoora Butik Enterprise dan Pookal Industry Sdn Bhd.

"Ia berjalan lancar mengikut jadual dan akan disumbangkan ke Hospital Ampang; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; dan Hospital Port Dickson. Ketiga-tiganya merupakan Hospital Pengajar kepada pelajar perubatan USIM.

“Tidak hanya menyumbang keperluan PPE di Hospital Pengajar, kini kita juga bergerak lebih awal untuk menyediakan 1,000 unit PPE bagi memenuhi keperluan Kumpulan Ketiga di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.

"Sukarelawan kita sedang menyiapkannya di Pusat Inkubator Jahitan USIM, di bawah penyelarasan Pusat Keusahawan Universiti,” katanya.

USIM turut menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 2,000 unit PPE lagi, bagi menampung keperluan Klinik Pakar Kesihatan USIM dan Pusat Hemodialysis USIM di Nilai; Klinik Kesihatan serta Pusat Kesihatan Daerah.

Sebanyak RM67,000 kos kewangan diperuntukkan bagi menjayakan usaha murni tersebut, dengan sebahagian kos ditampung melalui sumbangan Majlis Dato’-Dato’ Kurnia Negeri Sembilan; Yayasan Munarah Negeri Sembilan; Tabung COVID-19 USIM; Jemaah Profesor USIM serta sumbangan dalam kalangan pensyarah FPSK dan staf KPKU sendiri.