NEGERI SEMBILAN SAMBUT BAIK PEMERKASAAN TULISAN JAWI

Selasa, 10 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Nurul Haryani Hasrol

1/4

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik sebarang usaha untuk memperkasakan tulisan jawi di negara ini.

Ini sepertimana inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri, apabila mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari penggunaan tulisan jawi.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata selain mengalu-alukannya, pihaknya akan cuba mengikuti kempen itu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, langkah berkenaan sekali gus menjadi platform untuk memperkenalkan seni khat kepada masyarakat agar keindahannya dapat dihayati bersama.  

"Kita sekadar memperkenalkan (tulisan jawi) dan kita sama-sama menghargai tulisan khat yang lain, seperti juga saya menghadiri pertandingan kaligrafi Cina ketika (sambutan) Tahun Baru Cina.

"Jadi tak ada masalah untuk kita sama-sama gunakan kelebihan dan keindahan (kepelbagaian) budaya di negara kita, khususnya tulisan-tulisan yang cukup kreatif ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian 'Run For Peace 2019' Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini, kelmarin.

Turut hadir adalah Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Tuan Teo Kok Seong serta Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon.

Media melaporkan sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tulisan jawi merupakan platform untuk mengembalikan sejarah warisan negara.

Menurutnya, Bahasa Melayu secara khususnya menggunakan tulisan itu sebagai pengantara rasmi sama ada dalam hubungan antara negara mahu pun masyarakat.

"Insya-Allah dengan semangat ini, kita mengekalkan tradisi dan budaya bangsa kita yang sepatutnya saya ulangi, disokong oleh semua kaum kerana jawi bukan hak Melayu tapi warisan kita Malaysia.

"Diharap usaha ini dapat menyemarakkan lagi, mengekalkan tradisi dan memberi inspirasi kepada kementerian lain untuk turut sama menyemarakkan tulisan jawi dalam mengekalkan budaya tradisi sejarah bangsa kita yang kita hormati dan kagumi," katanya.