BERBEZA BUDAYA TUNJANG KEKUATAN MASYARAKAT

Selasa, 10 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/3

SEREMBAN: Perbezaan budaya tidak wajar dijadikan punca untuk memecah-belahkan perpaduan yang telah wujud di Malaysia sejak sekian lama.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon berkata, sebaliknya perbezaan itu seharusnya menjadi kekuatan bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan negara.

"Saya ingin pecahkan stereotaip bahawa kawasan Cina untuk orang Cina saja; kawasan Melayu untuk Melayu saja dan kawasan India untuk India saja.

"(Masyarakat) carilah titik persamaan antara kaum untuk praktikkan semangat kebersamaan," katanya.

Justeru kata Nicole, pihaknya mengadakan Program Seni @ Sungai Ujong Walk bagi mempamerkan budaya setiap kaum, di samping mengembalikan zaman kegemilangan Bandar Seremban Lama.

Tambah istimewa, katanya, dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia Undang Luak Sungai Ujong, Dato' Klana Petra, Dato' Haji Mubarak Dohak dan Yang Mulia Tok Puan ke program berkenaan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Seni @ Sungai Ujong Walk, di sini, tempoh hari.

Turut hadir adalah Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.