KUALA PILAH DISASAR KAWASAN BEBAS DADAH TAHUN INI

Khamis, 10 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/4

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan daerah Kuala Pilah sebagai kawasan bebas dadah bagi tahun ini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, mereka akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan bagi mencapai sasaran tersebut. 

Menurutnya berdasarkan statistik dari Januari hingga 30 September lepas, sebanyak 196 bilangan kes orang dalam pengawasan, iaitu 103 kes berulang dan 93 kes baharu.

"Kita mula dengan Kuala Pilah, kemudian Felda Sungai Kelamah. Di daerah Seremban pula, kita dah kenal pasti lima taman perumahan sebagai 'hotspot' semasa untuk kita bebaskan daripada dadah," katanya.

Pada masa sama, Aminuddin yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk persatuan berkenaan menjalankan aktiviti memerangi dadah di negeri ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel 'Training of Trainers (TOT) Community Empowerment (MPKK Komited Harapan Rakyat )' di Klana Resort, di sini, tempoh hari.

Sementara itu, Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr Nazira Sadiron berkata, sebanyak 16 kawasan berisiko tinggi penagihan dadah telah dikenal pasti  termasuk kawasan Felda di Jempol iaitu Ladang Geddes dan Rompin serta Tampin iaitu di Gemencheh dan Gemas.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Malaysia, Dato' Izhar Abu Talib dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Encik Syahrul Nizam Saleh.