PUPUK KESEDARAN BAHAYA DADAH MENERUSI PENDEKATAN INTERAKTIF

Khamis, 10 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/4

SEREMBAN: Inisiatif Pendidikan Pencegahan Dadah Secara Interaktif Melalui Aplikasi Pintar dan 'Learning Games' merupakan antara enam pembentangan utama dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sembilan Kali Ke-2.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, penggunaan aplikasi pintar 'Augmented Reality (AR)' dan 'Learning Games' berteraskan permainan papan Saidina itu dibangunkan oleh kumpulan penyelidik bersama pelajar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Poly-Tech MARA, Batu Pahat, Johor.



 

"Inisiatif ini masih dalam tempoh percubaan dan kita (Negeri Sembilan) akan jadi perintis terhadap projek tersebut. (Langkah) ini sebagai usaha kita untuk tarik minat golongan muda dengan beri pendedahan tentang bahaya dadah melalui aplikasi 'games'. 

"AADK Negeri Sembilan akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) untuk gunakan aplikasi ini kepada pelajar di peringkat tabika; sekolah rendah dan sekolah menengah.

'Ini satu inovasi baru yang harus difokuskan. Kita harap akan ada banyak lagi inovasi baru dibuat oleh universiti atau kolej kemahiran lain untuk pastikan maklumat tentang dadah sampai kepada masyarakat," katanya.

Aminuddin berkata, mereka turut membincangkan tentang Program Pendidikan Pencegahan Dadah di Tabika Perpaduan yang memperkenalkan nyanyian lagu 'Dadah Durjana' bagi memupuk perasaan benci dadah bermula dari usia kanak-kanak dan telah diluluskan pada 7 Oktober lalu.

"Kita juga membentangkan mengenai Projek Rintis Program Perumahan Bebas Dadah oleh Pengerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Daerah Seremban dan pelaksanaan Kem Bina Harapan 2.0.

"Selain itu, projek enam buah Masjid Rintis Kempen Perangi Dadah melibatkan lima kawasan berisiko tinggi disebut sebagai Kawasan Perangi Dadah Habis-Habisan (PDH) iaitu Senawang; Paroi; Rahang; Sikamat dan Seremban. Kawasan tersebut mempunyai bilangan Orang Kena Pengawasan (OKP) seramai 515 orang.

"(Bagi) Pelan Tindakan Felda Kelamah Bebas Dadah 2023, kita ingin pastikan capai sasaran kawasan Felda bebas dadah," katanya.

Menurutnya, semua inisiatif itu selari dengan visi dan misi AADK untuk mendayaupayakan komuniti dalam usaha menerapkan rasa kebersamaan menangani permasalahan dadah di peringkat akar umbi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.