DASAR BAHARU KAWAL PEMILIKAN HARTANAH OLEH WARGA ASING

Rabu          10 Oktober 2018          

10 okt 1-1.jpg

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bertindak mengawal pemilikan tanah oleh warga asing di negeri ini dengan menetapkan pemilikan mesti melebihi nilaian RM2 juta bagi kawasan Seremban, Port Dickson dan Jempol, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pemilikan bagi kawasan lain pula adalah RM1 juta.

 

Beliau berkata, dasar baharu dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat hari ini, bukan bertujuan menghalang warga asing membeli aset, sebaliknya mengawal pemilikan tanah oleh mereka.

 

Katanya, pihaknya mendapati ada rumah dijual antara RM300,000 hingga RM1 juta sekali gus memudahkan warga asing untuk membelinya.

"Tambahan pula nilai mata wang negara ini yang rendah memudahkan mereka untuk memiliki hartanah berkenaan. Warga asing melihat harga hartanah di sini murah.

"Walaupun di Negeri Sembilan tidak begitu berleluasa penjualan hartanah kepada warga asing, tetapi langkah proaktif perlu dilakukan bagi mengawal pemilikan hartanah berkenaan,” katanya pada sidang media selepas

mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini.

Aminuddin berkata, warga asing juga hanya dibenarkan membeli hartanah secara pajakan bukannya tanah jenis freehold (pemilikan tetap).

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan peniaga di Port Dickson supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan dan makanan untuk mengaut keuntungan berlebihan.

 

"Peniaga di Port Dickson perlu mengamalkan etika peniagaan yang baik dengan tidak menaikkan harga makanan supaya tidak membebankan pengguna dan menjejaskan kedatangan pelancong," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri hari ini melancarkan Tabung Misi Kemanusiaan Palu, Sulawesi Tengah, bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami, baru-baru ini.

Aminuddin berkata, tabung itu akan ditempatkan di semua pejabat agensi kerajaan, masjid, surau dan pusat ibadat lain di seluruh negeri.

“Kita mengharapkan kutipan sebanyak mungkin untuk disalurkan kepada penduduk Palu. Kutipan dibuat mulai hari ini sehingga 20 Oktober ini," katanya.