JABATAN PERIKANAN NEGERI SEMBILAN CIPTA REKOD BAHARU

Sabtu, 10 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhamad Syawal Saleh

1/3

REMBAU: Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Sembilan mencatat rekod baharu apabila melepaskan 500,000 benih udang galah bersaiz satu inci di Sungai Timun, di sini, dengan peruntukan bernilai RM90,000.

Pengarahnya, Halimi Abu Hanip berkata, saiz benih itu merupakan paling besar dilepaskan serta julung kali dibuat di Negeri Sembilan dan Malaysia pada tahun ini.

"Sebelum ini, kita tak pernah lepas saiz sebesar ini. Benih ada daripada jabatan sendiri, ambil dari swasta pun ada.

"Kos lagi tinggi bila saiz (udang) besar, tapi dia (udang) punya survival rate (daya tahan hidup) lebih tinggi berbanding yang kita lepas kecil-kecil," katanya.

Menurut Halimi, sungai itu turut menjadi tumpuan nelayan berikutan populasi udang galah yang baik sekali gus jadi sumber rezeki buat mereka. 

Tambahnya, harga udang di kawasan tersebut juga cukup tinggi iaitu sekitar RM75 hingga RM80 sekilogram berbanding harga di pasar yang dianggarkan RM35 sekilogram.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Program Pelepasan Benih Udang Galah di Pangkalan Nelayan Sungai Timun, di sini, semalam.

Perasmian telah disempurnakan oleh Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Bakri Sawir.

Sementara itu, Bakri berkata, pengumpulan data akan dibuat oleh Jabatan Perikanan bagi menilai keberkesanan program berkenaan.

"(Tempoh) enam bulan dari sekarang kalau kita tinggi (jumlah) udang, maknanya ada impak (positif). Tapi kalau turun juga (jumlahnya), ada yang tak kena dan perlu kita kaji," katanya.

Bagi rekod tahun 2017, kira-kira 1.18 juta benih udang galah dilepaskan di sungai itu dengan usaha sama pusat penetasan swasta dari Port Dickson.

Langkah tersebut dicatatkan dalam Malaysia Books of Records sebagai rekod pelepasan benih udang galah terbanyak.