MPJL NAFI KESAHIHAN LAPORAN MEDIA MASSA

Selasa, 10 Mac 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/2

SEREMBAN: Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) menafikan kesahihan laporan sebuah portal media tempatan yang tular hari ini, membabitkan status peneroka Felda Wilayah Raja Alias, Jempol.

Menerusi laporan diterbitkan atas talian sekitar jam 11.10 pagi itu, disebutkan bahawa peneroka di Felda itu dijangka menjadi jutawan apabila projek bandar aeroangkasa yang dirancang atas tanah ladang mereka menjadi kenyataan.

Menurut MPJL, pihaknya dan Kerajaan Negeri Sembilan tidak menerima sebarang permohonan secara rasmi berkaitan perkara berkenaan.

"(Sehubungan itu) orang ramai dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan sebarang berita yang belum sahih, bagi mengelakkan sebarang kesulitan di masa akan datang," katanya.

MPJL berkata demikian menerusi satu kenyataan ringkas yang telah dikongsi dalam status akaun Facebook rasmi mereka pada hari ini.

Status tersebut setakat ini memperoleh 29 komen daripada netizen; 168 respons Like dan turut dikongsi sebanyak 84 kali.

Berdasarkan laporan media berkenaan, difahamkan projek aeroangkasa dan bandar berkembar dengan Istanbul, Turki itu dirancang oleh sebuah syarikat tempatan bersama pelabur dari Turki.      

Pihak pemaju bercadang membangunkan tanah ladang peneroka dengan pelbagai infrastruktur, termasuk pembinaan lapangan terbang kargo antarabangsa dan akademi penerbangan.

Projek lain pula termasuk membina 1,000 premis kilang hub halal; universiti tahfiz antarabangsa; universiti aeroangkasa; kolej dan kawasan kediaman dengan kos pelaburan RM180 bilion.