SAHABAT-AMIN SANTUNI KELUARGA MISKIN

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Ahad, 10 Mac 2019 

1/4

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan program Sahabat-Amin sebagai inisiatif untuk menyantuni 56 keluarga miskin di Desa Rimbunan Kaseh, Kampung Batu Hampar, Rembau.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, projek rintis itu dilaksanakan dengan kerjasama sebuah organisasi pembangunan komuniti dikenali sebagai Akademi Peranserta Rakyat (AKAR).

Melalui inisiatif berkenaan, kata beliau, orang ramai diberi peluang untuk menghulur bantuan dengan cara mengambil keluarga di kawasan itu sebagai keluarga angkat masing-masing. 

"(Antara) bantuan yang boleh mereka pilih sendiri iaitu berbentuk moral seperti khidmat kaunseling. Kemudian, bantuan kewangan atau pun modal kewangan. 

"Kalau mereka (keluarga angkat) minat menjahit, boleh beri mesin jahit. Kalau mereka nak buat kuih, boleh belikan oven. 

"Boleh juga bawa keluarga angkat ini ke mana-mana (untuk bercuti) pada hujung minggu atau waktu cuti umum," katanya.

Mengulas lanjut program Sahabat-Amin, kata Aminuddin, borang pendaftaran boleh didapati di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan atau AKAR. 

"Yuran pendaftaran sebagai Sahabat-Amin hanya RM100. Kita turut menggalakkan penduduk di luar Negeri Sembilan untuk menyertai program ini.

"Terpulang pada kemampuan masing-masing untuk menyumbang. Kalau ada syarikat atau badan kebajikan nak taja sampai lima keluarga sekalipun, boleh," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan proses pengundian rumah mampu milik Type A, Taman Bukit Senawang Perdana, Senawang, di sini.

Turut hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Dato' Haji Zulkefly Mohamad Omar dan beberapa EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.

Untuk rekod, seramai 56 keluarga miskin yang sebelum ini tidak mempunyai rumah dan pekerjaan tetap, telah ditempatkan di Desa Rimbunan Kaseh.

Setiap keluarga diberikan peluang untuk memiliki sebuah kediaman kos rendah secara sewa beli dengan bayaran RM153 sebulan.

Sejak dua tahun lalu, ahli keluarga mereka telah diberi pekerjaan tetap di bawah projek khas ekonomi di Desa Rimbunan Kaseh.

Namun atas sebab-sebab tertentu, mereka terpaksa diberhentikan oleh pihak majikan mulai bulan ini.

Orang ramai yang berminat untuk menjadi Sahabat-Amin, boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada Sekretariat AKAR di talian 0111-0563371 (Zul) atau 013-2255172 (Hazian).