MANA MENGHILANG 8,248 JEMAAH SOLAT JUMAAT?

Jumaat, 10 Julai 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib @ Kero
Jurufoto: Mohd Zamzuri Daud @ Papazam

1/1

Alhamdulillah, syukur pada Allah yang telah memberi nikmat kesihatan pada Kero untuk menunaikan solat Jumaat pada hari ini.

Dua tiga hari sebelum ini, tonsil Kero bengkak teruk. Akibatnya, Kero demam panas dan sakit pada setiap sendi.

Persis macam kena denggi, kan? Tapi ini bukanlah perkara pelik, sebab dah berpuluh tahun Kero alami masalah tersebut.

Pernah sampai satu tahap, pihak hospital menyarankan supaya Kero jalani pembedahan untuk membuang kedua-dua tonsil.

Sebenarnya, bukanlah masalah kesihatan yang Kero nak kongsikan pada korang semua di sini.

Sebaliknya, Kero agak tertarik dengan isi kandungan khutbah yang dibacakan khatib pada kali ini.

Dinyatakan bahawa daripada 16,560 individu yang dah mendaftar untuk solat Jumaat di Negeri Sembilan pada 3 Julai lalu, hanya 8,312 individu yang hadir. 

Maknanya, sekitar 50.2 peratus sahaja yang datang. Maka timbul pula persoalan, baki 8,248 individu atau 49.8 peratus lagi mana menghilang?

Ini yang dikatakan oleh khatib sebagai perbuatan zalim tanpa sedar.

​​

1/1

Mereka yang berbuat sedemikian dah menafikan hak dan peluang orang lain, yang betul-betul ingin menunaikan solat Jumaat.

Sayyidina Ali bin Abi Thalib RA berkata: "Seseorang yang menzalimi (menganiaya) orang lain dan berbuat jahat pada orang lain, hakikatnya dia telah menganiaya dan berbuat jahat pada diri sendiri."

Firman ALLAH dalam Surah Fussilat, ayat 46 bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya dan sesiapa berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambanya."

Pada pandangan Kero, mungkin ada segelintir atau sebilangan kecil yang tak dapat hadir atas sebab-musabab munasabah.

Misalnya jatuh sakit atau ditimpa insiden yang tak diingini pada saat akhir, hingga menghalang mereka untuk ke masjid.

Mungkin ada juga yang dah daftar dan berjaya. Namun pada saat akhir, kena bertugas di luar daerah atau negeri. Maka solat Jumaat ditunaikan di lokasi mereka berada.

Tapi kalau difikirkan secara logika, takkanlah semua 8,248 individu terbabit berdepan masalah yang sama seperti disebutkan di atas?

Itu belum sentuh lagi mengenai individu-individu yang sihat tubuh badan, tapi sengaja tak daftar untuk solat Jumaat.

Tapi siapalah Kero untuk menilai. Diri ini sekadar hamba ALLAH yang kerdil lagi hina. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui punca sebenar ketidakhadiran mereka.

Cukuplah sampai di sini perkongsian Kero. Kepada yang sesuka hati mendaftar tapi sengaja tak nak hadir, mohon terasa.

Kepada yang sihat walafiat tapi sengaja atau buat-buat lupa untuk mendaftar solat Jumaat, pun mohon terasa.

Semoga kita semua diberikan petunjuk dan hidayah oleh ALLAH, untuk menempuh hidup yang singkat dan penuh pancaroba ini.