PROTON PERDANA KEKAL SEBAGAI KENDERAAN RASMI KERAJAAN

Jumaat, 10 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

PUTRAJAYA: Kerajaan mengekalkan penggunaan kereta jenis Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi kerajaan.

Menteri Kewangan, YB Tuan Lim Guan Eng mengesahkan kontrak baharu itu akan diumumkan selepas jawatankuasa tender kementerian berkenaan dimuktamadkan.

Menurutnya, penggunaan kenderaan mewah untuk anggota kabinet dan pegawai tinggi kerajaan sepertimana dilaporkan media sebelum ini hanyalah pilihan kedua, selepas pihaknya dimaklumkan oleh pembekal bahawa stok Proton Perdana tidak mencukupi.

"Isu ini sebenarnya lebih kepada pilihan. Kita mahu kekalkan Perdana tapi syarikat (pembekal) maklumkan yang stok (kereta) tak cukup.

“Jadi kita diberi pilihan (kenderaan lain). Bagaimanapun sekarang, kita dah dapat pengesahan stok kereta Perdana mencukupi. (Maka) kita akan kekal dengan Perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan bahawa kerajaan dalam proses melantik sebuah syarikat untuk membekalkan kenderaan bagi kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Janji niaga itu bakal menyaksikan peruntukan sebanyak 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan.

Pelantikan syarikat baharu itu berikutan kontrak Spanco Sdn Bhd (Spanco) sebagai pengendali rangkaian kenderaan kerajaan telah tamat pada hujung tahun lepas.