PELUANG PENJAWAT AWAM MILIKI KEDIAMAN SENDIRI

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Rabu, 10 April 2019 

1/3

SEREMBAN : Penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini berpeluang memiliki kediaman sendiri menerusi Projek Perumahan Penjawat Awam Negeri Sembilan yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, sebanyak 350 unit rumah teres satu tingkat bakal dibina di kawasan seluas 31 ekar berdekatan S2 Heights dan Bandar Ainsdale, Labu.

Menurutnya daripada jumlah itu, 150 unit kediaman ditawarkan pada harga RM90,000 manakala 200 unit kediaman lagi ditawarkan pada harga RM250,000.

Tambahnya lagi, projek perumahan berkenaan dibangunkan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) secara usaha sama dengan pemaju terpilih.

"Rumah RM90,000 (keluasannya) berukuran 22x65 kaki, manakala rumah RM250,000 pula (keluasannya) berukuran 22x70 kaki.

"Jika perjanjian antara pemaju dan PKNNS dapat disegerakan, insya-Allah pecah tanah akan kita lakukan sekitar bulan Julai dan Ogos. Kita harap projek tersebut dapat dibuat dalam tempoh setahun.

"(Sebenarnya) kalau ikut perjanjian, dalam tempoh dua tahun. Tapi kita minta disegerakan untuk penjawat awam. Kalau boleh sebelum raya tahun depan, rumah ini dapat disiapkan dan boleh diduduki," katanya.

Mengulas syarat umum permohonan pula, antaranya kata Aminuddin, keutamaan diberikan kepada Kumpulan Pelaksana Gred 40 ke bawah sama ada tetap atau kontrak, yang masih belum memiliki rumah sendiri.

Selain itu katanya, projek tersebut juga hanya terbuka bagi penjawat awam yang  berkhidmat di Negeri Sembilan.

"Bagi yang berjaya membeli rumah ini, mereka hanya perlu membayar RM475 sebulan bagi tempoh 25 tahun. Jika ambil tempoh (pinjaman) 30 tahun, mereka kena bayar RM429.67 sebulan. Ini bagi rumah jenis RM90,000.

"Bagi kategori rumah RM250,000, mereka akan bayar RM1,319 sebulan untuk tempoh (pinjaman) 25 tahun. Kalau buat pinjaman 30 tahun, mereka kena bayar RM1,193 sebulan," katanya.

Dalam pada itu kata Aminuddin, usaha tersebut merupakan projek rintis Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Menurut beliau, pelaksanaannya sama sekali tiada kaitan dengan projek perumahan khas penjawat awam di Bandar Sri Sendayan yang diumumkan oleh pentadbiran terdahulu pada 26 April 2018.

"Kita sedia maklum projek yang diumumkan (pentadbiran) terdahulu itu telah dibatalkan pada Julai tahun lepas, di mana pemaju tak ingin meneruskan projek berkenaan.

"Projek itu dijual pada harga RM245,000 dan RM340,000 untuk teres satu tingkat," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran projek perumahan berkenaan di Wisma Negeri, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik serta Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong.

Bagi penjawat awam yang layak dan berminat, boleh mendapatkan borang dengan cara memuat turun dari Portal Kerajaan Negeri Sembilan dan permohonan akan ditutup pada 30 Ogos 2019.