PERKHIDMATAN BAS PERCUMA LALUAN BAHAU-BATU KIKIR

Isnin, 9 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Ihsan YB Tuan Teo Kok Seong

1/5

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi laluan Bahau-Batu Kikir, untuk kemudahan orang ramai.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, YB Tuan Teo Kok Seong dalam satu majlis yang diadakan pada 2 September lalu.

Pada masa sama, penyerahan Bangunan Kedai Desa dan pelancaran Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 peringkat daerah Jempol turut dilaksanakan.

Kok Seong yang juga Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru berkata, bas percuma itu beroperasi setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad.

Menurut beliau, perjalanan bermula dari Stesen Bas Bahau melalui Taman Meranti; Taman ACBE; Taman Samam; Klinik Kesihatan Bahau; Taman Tuanku Puan Chik; Kampung Bukit Laka dan Kampung Bukit Kelulut.

Tambah Kok Seong, laluannya turut meliputi Kampung Serting Ilir; Kampung Lonek; Kampung Gajah Mati; Teratak Za'ba dan Simpang Batu Kikir hingga sampai ke Stesen Bas Batu Kikir.

Jadual perjalanan ditetapkan pula sebanyak empat kali sehari iaitu jam 8 pagi; 10.30 pagi; 1.30 petang dan 4.30 petang.

"Paling penting, perkhidmatan ini memudahkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bahau.

"Sebab bas awam hanya turunkan penumpang di tepi jalan besar. Kemudian, mereka perlu jalan kaki lebih kurang 400 hingga 500 meter ke Klinik Kesihatan Bahau.

"Macam sekarang, bas percuma turunkan penumpang berdekatan pintu masuk utama Klinik Kesihatan Bahau. Masih kena jalan kaki sikit, tapi tak sampai 100 meter," katanya.

Selain itu katanya, perkhidmatan bas percuma berkenaan turut memberi manfaat kepada pelajar sekolah.

"Ada empat hingga lima sekolah yang terletak dalam laluan antara Stesen Bas Bahau dan Stesen Bas Batu Kikir.

"Pelajar yang balik lewat sebab ada aktiviti petang, pun boleh guna sekali. Secara tak langsung, dapat jimatkan wang saku mereka," katanya ketika dihubungi NS Daily, di sini.

Mengulas lanjut bas percuma yang disediakan, kata Kok Seong, tempoh percubaan ditetapkan adalah sehingga hujung tahun ini.

Kosnya pula dibiayai sepenuhnya oleh Pejabat ADUN Bahau menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri.

"Selain mudah nak ke Klinik Kesihatan Bahau, warga emas juga boleh guna bas ini untuk ke PAWE (Pusat Aktiviti Warga Emas) di Kampung Serting Ilir.

"Usaha ini selari dengan manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang sentiasa mengutamakan keselesaan dan kepentingan rakyat, di mana salah satunya menyediakan bas percuma," katanya.