PENANGGUHAN PROJEK HSR TAK JEJAS PEMBANGUNAN NEGERI

Ahad          09 September 2018         

09 sep 1-1
09 sep 1-2
09 sep 1-3
09 sep 1-4
09 sep 1-5

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberikan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Pusat yang membuat keputusan menangguhkan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) selama dua tahun sehingga 31 Mei 2020.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pihaknya bersikap positif terhadap penangguhan itu kerana kerajaan ketika ini terpaksa menanggung jumlah hutang yang cukup besar.

 

"Saya rasa penangguhan ini perlu demi kesejahteraan rakyat kerana projek HSR membabitkan belanja yang cukup tinggi dan kita tidak mahu kerajaan terbeban dengan permasalahan hutang.

 

"Kerajaan Pusat terpaksa memikirkan projek lain yang lebih utama dan sesuai dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat.


"Apa yang penting bagi kita ialah projek HSR ini tidak

dibatalkan sebaliknya ia cuma ditangguhkan.

 

"Saya rasa tempoh dua tahun itu tidak lama dan kerajaan negeri yakin ianya akan tetap memberikan impak positif kepada kemajuan ekonomi negeri ini apabila projek itu dimulakan kelak," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi KEMAS Peringkat Negeri Sembilan 2018, di Dewan Institut Penguruan Raja Melewar (IPRM), di sini, petang tadi.

 

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya berharap rakyat negeri ini dapat memahami situasi sebenar terhadap langkah kerajaan menangguhkan projek HSR berkenaan.

 

"Kerajaan memberikan keutamaan kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan saya rasa mereka dapat memahami usaha yang dilakukan kepemimpinan negara itu," katanya.

 

Sementara itu, Menteri Besar menafikan dakwaan beliau ada menghadapi masalah kesihatan susulan membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Serdang Selangor, semalam, sehingga viral di laman sosial.

 

"Saya hanya membuat pemeriksaan kesihatan biasa di hospital berkenaan sebagai memenuhi jadual pemeriksaan yang selama ini jalani di hospital itu. Tak ada apa-apa. Alhamdulillah, kesihatan saya baik," katanya.