NS ALU-ALUKAN LANGKAH NESTLE LABUR RM100 JUTA

Selasa     09 Oktober 2018          

09 oct 5-1.jpg

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan mengalu-alukan syarikat Nestle (Malaysia) Bhd untuk mengembangkan sayap perniagaan mereka dengan menjadikan kilangnya di Chembong Rembau sebagai Pusat Kecemerlangan Pengilangan MILO terbesar di dunia.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, langkah syarikat berkenaan untuk melabur di situ sebanyak RM100 juta adalah satu perkembangan yang sangat positif dan mampu menaikkan imej negeri ini di peringkat antarabangsa.

"Kita amat alu-alukan langkah Nestle yang memilih Negeri Sembilan sebagai tempat mengilangkan produk mereka."Ini merupakan satu penghargaan kerana dapat meletakkan Chembong dan Negeri Sembilan sebagai hab

makanan halal terbesar di dunia.

"Saya percaya bukan saja syarikat Nestle, tetapi diharapkan akan ada syarikat antarabangsa lain yang akan mengeluarkan produk makanan di situ," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Geran Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Dewan Institut Latihan FAMA, petang tadi.

Hadir sama, isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Puan Nicole Tan Lee Koon.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Alois Hofbauer, dalam kenyataannya hari ini menyatakan syarikat itu akan melabur lebih daripada RM100 juta bagi mengembangkan kilang MILO miliknya di Chembong.

Malah, syarikat berkenaan akan memindahkan semua operasi pengilangan MILO sedia ada dari kilang Petaling Jaya (PJ) ke Chembong.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kerajaan negeri sudah menyediakan dana khas sebanyak RM2 juta setahun untuk menaik taraf kawasan perindustrian di negeri ini bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan selesa.

"Usaha itu bertujuan bukan saja memudahkan urusan perindustrian berjalan lancar malah dapat memberikan keselesaan kepada pekerja," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan geran berkenaan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2.7 juta kepada 44 PDK seluruh negeri.

Bantuan itu bagi tujuan melancarkan operasi PDK termasuk dari aspek pentadbiran, kemudahan, program dan aktiviti kebajikan serta peralatan PDK, sekali gus memberi manfaat seramai 1,172 anak-anak istimewa yang bernaung di bawah PDK terbabit.