6,000 HADIR CERAMAH MEGA MAHATHIR-ANWAR

Selasa     09 Oktober 2018          

09 oct 1-1.jpg

PORT DICKSON: Hujan renyai tidak menghalang kira-kira 6,000 orang menghadiri program Ceramah Mega sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di PD Waterfront, malam tadi.

Program itu yang bertujuan menarik sokongan pengundi mencatat sejarah tersendiri dalam dunia politik negara negara.

Ini kerana bukan sahaja menyaksikan penampilan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi menyaksikan tokoh berusia 93 tahun itu sepentas dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihanraya berkenaan.


Kali terakhir mereka berada di atas pentas politik yang sama adalah kira-kira dua dekad dahulu, iaitu ketika

mereka menerajui kepemimpinan tertinggi UMNO serta Barisan Nasional.

Program yang bermula dari jam 8 hingga 11.30 malam itu turut membabitkan kehadiran kepemimpinan tertinggi PH antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengarah PRK Port Dickson, Tuan Haji Aminuddin Harun; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Penyertaan mereka itu menggambarkan kesepakatan dalam memastikan kemenangan Anwar pada dalam PRK berkenaan.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU berharap PRK Parlimen Port Dickson akan memihak kepada Anwar.

“Saya harap kita terus bekerja, bukan bekerja untuk Anwar, Mahathir, Mat Sabu atau Lim Guan Eng tetapi untuk negara dan rakyat yang telah beri peluang kepada kita untuk ambil alih pentadbiran negara.

"Kerajaan kini sedang dalam proses memulihkan kedudukan kewangan negara yang telah dirosakkan oleh kerajaan terdahulu (BN)," katanya sambil menegaskan semua pemimpin dan rakyat perlu bekerja keras untuk membangunkan negara.

Terdahulu, Anwar menyuarakan keyakinannya bahawa Dr Mahathir adalah individu terbaik untuk memimpin negara ketika ini yang sedang dalam proses pemulihan berikutan dilanda pelbagai skandal termasuk kes 1MDB.

“Untuk mengemudi negara, kita serah terus kepada Dr Mahathir dengan kebijaksanaan beliau,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin mahu pengundi keluar beramai-ramai pada 13 Oktober ini bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk memastikan Anwar mencapai kemenangan dan mendapat majoriti besar.

"Selaku Pengarah PRK ini, saya mengucapkan terima kasih kepada jentera PH yang terus memberikan kerjasama dalam usaha menarik pengundi dan berharap komitmen itu berterusan sehingga 13 Oktober ini, untuk pastikan Anwar menang," katanya.