RANCANGAN BANGUNKAN HAB PENERBANGAN POSITIF

Jumaat          09 November 2018          

09 nov 2-1.jpg

SEREMBAN: Usaha kerajaan Negeri Sembilan untuk membangunkan sebuah hab penerbangan di negeri ini bagi meningkatkan lagi ekonomi, dilihat berjalan lancar apabila perjanjian mengenainya dijangka dimeterai awal bulan depan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, perjanjian itu akan membabitkan antara Perbadanan Negeri Sembilan (NS Corp), Airbus, AirAsia dan Sime Darby.

Katanya, majlis itu dijangka disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.


“Perancangan untuk membangunkan hab penerbangan sebagai pusat penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih

(MRO) pesawat komersial, enjin dan komponen berkaitan berjalan dengan baik.

“Kajian kemungkinan akan bermula Januari 2019 dan kita mengharapkan dalam tempoh selesainya kajian kemungkinan itu, projek hab penerbangan ini boleh berjalan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun bagi menyempurnakan perasmian Seminar Penyelidikan Pendidikan Antarabangsa 2018, di Universiti Teknologi Mara Kampus Seremban 3, di sini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Rafie berkata, penubuhan NS Corp sudah diluluskan pada sidang DUN, baru-baru ini dan kini dalam proses ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurutnya, fungsi utama perbadanan itu adalah merangka strategi dan merancang pelan pembangunan ekonomi Negeri Sembilan bagi tempoh sekarang sehingga 2050.

“Perancangan ini membabitkan semua kawasan Negeri Sembilan dan merangkumi semua sektor ekonomi. Ini penting kerana kita ingin memastikan pembangunan di Negeri Sembilan secara terancang.

“Kita bukan hanya setakat merangka pelan pembangunan malah bertanggungjawab untuk memastikan ia berjalan.

"Ini bezanya dengan perbadanan yang lain kerana ia bersifat lebih proaktif dan kita mahu memastikan ada syarikat tunjang yang membuat pelaburan seperti Airbus. Kita mahu memastikan ekonomi negeri ini terus berkembang," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, Aminuddin mengesahkan bahawa Dr Mahathir sudah bersetuju dengan cadangan penubuhan hab penerbangan berkenaan, yang dirancang dilaksanakan di kawasan Tanah Merah di Port Dickson.

Malah, kerajaan negeri yakin projek terbabit mampu dilaksanakan dengan baik sesuai dengan kedudukan negeri ini yang paling hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).