SEMINAR PERKASA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Jumaat          09 November 2018          

09 nov 1-1.jpg

SEREMBAN: Seminar penyelidikan pendidikan seharusnya mampu membantu memperkembangkan lagi potensi pendidik, dalam usaha memperkasakan lagi sistem pendidikan negara.

Exco Pendidikan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, ini kerana pendidik adalah teraju utama dalam membangunkan sumber manusia.

Katanya, Kementerian Pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) mengharapkan potensi pendidik dapat dikembangkan lagi untuk menghadapi pendidikan abad ke-21 (PAK 21).


"Bagi merealisasikan sasaran itu, pendidik perlu bersedia mentransformasikan diri supaya menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

"Justeru, seminar penyelidikan seperti ini dilihat sebagai medium terbaik ke arah memantapkan lagi kemahiran pendidik bagi merealisasikan kecemerlangan pendidikan.

"Saya mengharapkan seminar ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam mencari kaedah terbaik untuk kita memastikan tahap maksimum pelajar yang boleh mereka terima semasa dalam bilik darjah.

"Saya menyarankan agar hasil seminar ini dapat didokumentasikan dalam bentuk jurnal dan disebarluaskan supaya ramai orang boleh melihat dan memanfaatkannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mewakili Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun, bagi menyempurnakan perasmian Seminar Penyelidikan Pendidikan Antarabangsa 2018 (SPPA 2018) di Universiti Teknologi Mara Kampus Seremban 3, di sini.

Sebanyak 57 kertas kerja berjaya dibentangkan pada seminar bertemakan Penyelidikan dan Inovasi Memacu Pendidikan Bertaraf Dunia, yang turut membabitkan penyertaan dari Indonesia.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Rafie juga berharap agar seminar berkenaan dijadikan sebagai acara tahunan dan mempelawa lebih banyak penyertaan negara luar termasuk dari Brunei, Singapura dan beberapa negara lain khususnya di Asia Tenggara.

"Saya juga mengharapkan kepada pihak penganjur supaya satu urusetia tetap diwujudkan, supaya segala aktiviti penyelidikan itu dapat diselaraskan dan akhirnya matlamat yang diinginkan tercapai," katanya.