SURI RUMAH PERLU BANTUAN KEWANGAN

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Sabtu, 09 Mac 2019 

1/4

Jam terus berdetik dan masa terus berlalu. Tinggal beberapa jam lagi sebelum menginjak ke tanggal 10 Mac 2019.

 

Hati Farah Idayu Mohd Shah, 29, semakin tidak keruan lantaran mengenangkan musibah yang bakal menimpa dirinya sekeluarga.

 

Itulah tarikh akhir untuknya melunaskan sewa rumah yang saban bulan tertunggak di Bandar Seremban Selatan, Seremban. 

 

Bukan setakat sebulan dua, tetapi sudah mencecah empat bulan. Farah kini hanya berdepan dua pilihan, bayar atau pindah keluar.


Namun, Farah sama sekali tidak menyalahkan individu terbabit. Baginya, si pemilik sudah cukup bertoleransi dan bertimbang rasa.

 

Kalau tidak, pastinya sudah awal-awal lagi dia sekeluarga dihalau dan hilang tempat berteduh.

 

Bukan niat Farah dan suami, Mohamad Azroy Ali, 25, untuk sengaja culas membayar sewa rumah didiami selama ini.

 

Namun kekangan kewangan dialami sejak kelahiran anak kedua pada Ogos tahun lalu, amat menguji kesabaran dan ketabahan pasangan ini.

 

 

Alami masalah jantung kompleks    

 

"Fatihah alami masalah jantung kompleks. Ada empat kecacatan, antaranya jantung berlubang dan tak ada pembuluh darah ke paru-paru," ujar Farah membuka bicara. 

 

Luluh hati penulis dan rakan-rakan, tatkala mendengar kisah pilu membelenggu bayi comel yang berada di ribaan Farah.

 

Menurutnya, kesihatan Nur Fatihah yang dilahirkan secara pembedahan didapati semakin tidak stabil apabila mencecah usia empat bulan.

 

Akibatnya, mereka terpaksa berulang-alik ke Hospital Tuanku Ja'afar dan Hospital Serdang lebih 10 kali sebulan.

 

"Minggu lepas, Fatihah tiba-tiba pitam waktu main atas walker. Muka dia biru, badan dia sejuk dan jantung tak berdegup. 

 

"Lebih kurang tiga jam dia tak sedarkan diri. Tapi syukur pada Allah, Fatihah bernafas semula selepas dapat rawatan di hospital.

 

"Kata doktor, dah tak ada cara untuk sembuhkan Fatihah. Kalau pergi hospital pun, sekadar nak ambil bantuan oksigen atau CPR," katanya.

 

Tidak cukup dengan itu, kata Farah, anaknya turut mengalami masalah dalam pengambilan susu.

 

"Setakat ni semua susu yang saya belikan, menyebabkan najis dia berdarah. Doktor pun tak tahu, nak sarankan apa yang sesuai.

 

"Cuma kata mereka, cuba beli susu mahal untuk Fatihah. Masalahnya saya tak mampu," katanya.

 

 

Sarat mengandung enam bulan

 

Mengulas keadaan kewangan pula, Farah berkata, dia tidak mampu bekerja kerana perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Nur Fatihah.

 

"Tambah lagi sekarang, saya sarat mengandung enam bulan. Dah dua kali saya pitam sebab tekanan darah tinggi.

 

"Masa dua-dua kejadian, suami belum balik kerja. Mujur jiran-jiran tolong telefonkan ambulans dan jaga anak-anak.

 

"Saya dah ambil perancang keluarga selepas lahirkan Fatihah, tapi lekat juga kandungan," katanya yang merupakan anak yatim piatu.

 

Sementara itu kata Farah, suaminya sekadar membantu menjual keropok lekor di pasar malam dengan gaji sebanyak RM50 sehari.

 

"Kadang-kadang, suami ambil upah baik pulih kereta kawan-kawan sebagai pendapatan tambahan.

 

"Tapi kebanyakan gaji suami digunakan untuk bayar tambang teksi, pergi balik hospital. Satu hala dah cecah RM30, belum kira harga waktu malam. 

 

"Nak buat macam mana, sebab tak ada kenderaan sendiri. Bukannya tak nak ambil Grab, tapi mereka yang tak nak masuk kawasan ni.

 

"Selain tunggakan sewa rumah, ada juga tunggakan bil elektrik kira-kira RM400 dan air sekitar RM100. Pernah bekalan elektrik kena potong selama tiga minggu," katanya.

 

 

Minta bantuan dengan Menteri Besar

 

Lantaran buntu memikirkan masa depan mereka empat beranak, Farah nekad untuk meminta bantuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

 

Permintaannya telah disampaikan menerusi mesej dalam akaun Facebook rasmi pemimpin berkenaan pada Rabu lalu, sekitar jam 9.33 malam.

 

Dia sama sekali tidak menyangka, keluhannya akan mendapat perhatian apabila wakil dari Pejabat Menteri Besar datang melawat pada keesokannya sekitar jam 7 petang.

 

Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Mohd Firdaus Abdullah telah menyampaikan bantuan awal berbentuk kewangan dan barangan dapur, selain mengumpulkan maklumat lanjut.    

 

"Saya takut sebenarnya nak mesej beliau (Menteri Besar), sebab tak pernah minta bantuan mana-mana (agensi)," ujar Farah menamatkan perbualan.

 

 

JKM santuni Farah sekeluarga

 

Rentetan lawatan dibuat oleh wakil Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan telah bertindak menyantuni Farah dan Nur Fatihah pada Jumaat lalu, sekitar jam 11.40 pagi.

 

Sehubungan itu, agensi berkenaan melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seremban telah menyerahkan bantuan daripada Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 bagi meringankan beban Farah dan keluarga.

 

"Penama (Farah) turut diberikan Borang Permohonan Bantuan Kebajikan, untuk dipertimbangkan bantuan yang bersesuaian.

 

"Berkaitan masalah tunggakan sewa rumah dan bil utiliti, kes penama telah dirujuk kepada Baitulmal Daerah Seremban," kata agensi tersebut dalam satu kenyataan kepada NS Daily, di sini. 

Cara menyalurkan bantuan

Kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan kewangan kepada Farah dan Nur Fatihah, boleh menyalurkannya di nombor akaun 8881031641971 (AmBank).