FOKUS ASPEK PEMULIHAN DAN KEBAJIKAN BAGI PESALAH KANAK-KANAK

Selasa, 09 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Wartawan Lokasi: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhamad Syawal Saleh

Juruvideo: Muhammad Faiz Limat

1/6

SEREMBAN: Pemulihan dan kebajikan merupakan dua aspek penting yang seharusnya diberi perhatian, apabila mengenakan sebarang tindakan perundangan terhadap pesalah kanak-kanak.

ADUN Lenggeng, YB Tuan Haji Suhaimi Kassim berkata, kedua-dua perkara itu ditekankan kerana mengambil kira faktor bahawa golongan terbabit mudah terkesan dari aspek psikologi.

"Dari aspek pendidikan pula, mereka masih mempunyai tempoh yang panjang untuk dididik dan diasuh bagi mematangkan fikiran dan tindakan.

"Oleh itu, segala tindakan bakal diambil perlu menitikberatkan dua aspek ini agar dapat mendidik dan membentuk semula akhlak mereka yang melakukan kesalahan jenayah," katanya.

Sementara itu dari aspek hukuman, katanya, teori pemulihan merupakan bentuk hukuman yang terbaik untuk dipertimbangkan. 

"Kanak-kanak masih berada dalam fasa pembelajaran dan belum sebati dengan jenayah atau kesilapan yang dilakukan.

"Secara dasarnya, mereka masih mudah dibentuk dan sewajarnya diberikan peluang kedua untuk memperbetulkan diri," katanya.

Tambahnya, kanak-kanak secara umumnya belum mempunyai kapasiti mental yang matang untuk melakukan jenayah sekiranya tidak dipengaruhi oleh manusia dan persekitaran negatif.

"Sehubungan itu, masih terdapat banyak ruang untuk memperbaiki tingkah laku dan menerapkan sahsiah serta nilai moral yang tinggi dalam diri mereka.

"Saya yakin melalui program kaunseling dan kewujudan institusi pemulihan akhlak, akan dapat merubah pesalah kanak-kanak ini agar menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara," katanya.

Demikian pandangan diutarakan kepada pakar-pakar perundangan sivil dan syariah serta ahli-ahli akademik, ketika beliau membacakan teks ucapan Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Suhaimi mewakili Menteri Besar bagi menyempurnakan perasmian Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Negeri Sembilan Kali Ke-5 Tahun 2019 (KONVEP5) di Klana Resort, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Amat Arif Dato' Dr Haji Mohd Naim Haji Mokhtar; Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, Yang Amat Arif Tuan Abas Nordin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato' Haji Mohamed Haji Husein.