NEGERI SEMBILAN KAJI DULU CADANGAN KENAIKAN TARIF AIR

Oleh: Mohd Amin Jalil       Rabu, 09 Januari 2019 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil

kira pandangan pelbagai pihak dan kajian oleh kementerian terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menaikkan kadar tarif air.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, malah satu jawatankuasa akan diwujudkan untuk meneliti perkara berkenaan.

Katanya, tiada kenaikan tarif air bagi kegunaan domestik sejak 18 tahun lalu, namun Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) masih mampu memberikan perkhidmatan terbaik.

"Bagaimanapun, kos operasi semakin meningkat dan kita tidak mahu ia memberikan kesan kepada rakyat.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ada

memberikan pandangan supaya kadar tarif air di negeri ini dinaikkan kepada RM12.40 bagi 20 meter padu berbanding ketika ini RM11.

“Kita sambut baik cadangan itu kerana kadarnya masih rendah tetapi belum membuat sebarang keputusan.

"Setakat ini 52 peratus rakyat di negeri ini menggunakan air di bawah 20 meter padu dan kita akan melihat keperluan untuk memberikan insentif sesuai," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, dilaporkan berkata, kenaikan tarif air perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan membina sebuah lagi loji baharu di Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi, di sini, dalam usaha memastikan bekalan air di kawasan Seremban dan Nilai mencukupi.

Menurutnya, proses pembinaan loji itu masih di peringkat rundingan sebelum tender dikeluarkan tahun depan.

“Loji ini dijangka siap pada tahun 2022 yang  mampu memenuhi keperluan penduduk di Seremban dan Nilai, selain pembangunan baru Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar menggesa Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri itu dapat bekerja untuk rakyat.

"MPKK memainkan peranan penting dan perlu laksanakan tanggungjawab sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat," tegasnya.

1/1