KUGIRAN JADI HADIAH BERSUNAT 

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib         Ahad, 09 Disember 2018 

SEREMBAN: "Tuan-tuan tahu apa yang saya minta daripada keluarga, masa tu?" ujar Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun untuk menduga orang ramai.

 

Maka sekalian yang hadir di Madrasah Al-Aliyah, Jalan Jelebu, di sini, pun melontarkan beberapa jawapan sebagai respons.

 

Antara perkataan yang terpacul dan jelas kedengaran adalah 'basikal', namun pantas disangkal oleh beliau. 

 

"Tak, bukan. (Sebaliknya) saya minta (persembahan kumpulan) kugiran," jelas Aminuddin yang kemudiannya disambut dengan gelak tawa hadirin.


Demikian perkongsian Aminuddin ketika mengimbau kembali nostalgia berkhatan tatkala dirinya menginjak usia

9 tahun.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Berkhatan Ramai-Ramai di madrasah berkenaan, tengah hari tadi.

 

Menurut Aminuddin, keluarganya sanggup memenuhi permintaan itu sebagai ganjaran atas kerelaannya untuk 'masuk jawi'.

 

"Masa tu, abang saya nak berkhatan. Ayah dan abang saya pun tawarkan, nak berkhatan atau tak. 

 

"Mereka pujuk saya, sebab senang buat kenduri sekali adik-beradik. Jadi masa hari saya berkhatan, ada kugiran. 

 

"Kalau dulu, berkhatan tu (satu perkara) besar. (Buat) kenduri besar-besar kalau di kampung saya," katanya.


 

1/3