PESERTA BERKHATAN TERUJA MB HADIR

Oleh: Mohd Amin Jalil          Ahad, 09 Disember 2018 

SEREMBAN: Seramai 40 kanak-kanak yang menyertai program berkhatan di Madrasah Al-Aliyah, Jalan Jelebu, di sini, teruja apabila mereka dikunjungi Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun.

Menteri Besar turut memberi kata semangat kepada kanak-kanak terlibat yang tampak gembira selepas menempuh pengalaman baharu iaitu melangkah ke alam kedewasaan.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak pengurusan madrasah yang telah menganjurkan program berkenaan.


Katanya, berkhatan merupakan perkara penting yang dituntut agama Islam untuk kebersihan diri dan teknologi masa kini memudahkan aktiviti itu dilaksanakan

berbanding suatu ketika dahulu yang menggunakan khidmat mudim.

"Syabas dan tahniah kerana dapat menganjurkan program berkhatan ini secara gotong-royong, apabila ramai pihak yang memberikan sumbangan.

"Ini membuktikan semangat kerjasama dan hubungan silaturahim yang baik dan utuh dalam masyarakat. Saya harap usaha seperti ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang," katanya.

Hadir sama adalah isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof.

Aminuddin turut menyatakan terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa mendoakan kesihatan beliau selepas menjalani pembedahan pintasan jantung, Oktober lalu.

"Terima kasih kerana ramai yang mendoakan kesihatan saya. Ada individu yang terpaksa berehat hingga tiga atau empat bulan selepas pembedahan.

"Tetapi Alhamdulillah, saya sudah boleh melakukan kerja dan bergerak dalam tempoh kira-kira sebulan dan ini semuanya atas doa tuan-tuan dan puan-puan," katanya.

1/5