BEKALAN ELEKTRIK 12 PREMIS JUDI DIPOTONG 

Selasa, 08 September 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan IPD Seremban
 

1/4

SEREMBAN: Sebanyak 12 premis di sekitar bandar raya ini dipotong bekalan elektrik, dalam satu operasi khas yang dijalankan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, hasil serbuan pihaknya mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara sembunyi.

"Kedegilan premis terbabit berakhir apabila bekalan elektrik dipotong, bertujuan untuk mengelakkannya beroperasi semula.

"Operasi pemotongan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
 

Menurutnya, antara kawasan yang diserbu adalah di Jalan Mantin Bukit Sepang; Jalan Temiang; Jalan Rasah; Jalan Zaaba, Jalan Nyior Hijau 2; Jalan Nyior 7; Oakland Commerce Square; Jalan Taman Sri Pinang; Jalan Saujana Sutera 19; Jalan Pusat Komersial Saujana dan Oakland Commerce Square.

"Kesemua premis tersebut disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289).

"Turut serta dalam operasi pada hari ini adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Mohd Rosli Ishak dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seremban, Deputi Superintenden Ahmad Jamaludin," katanya.