WUJUDKAN PERKAMPUNGAN VETERAN ATM DI TAMPIN

Selasa, 8 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhamad Syawal Saleh

1/5

SEREMBAN: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan berhasrat mewujudkan ‘perkampungan veteran’ di Tampin sebagai usaha membela nasib bekas tentera.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri akan memberi bantuan untuk memastikan hasrat itu dapat dilaksanakan segera.

“Apabila mereka beritahu akan bangunkan tanah di Tampin, ini perkara yang sangat dialu-alukan. Kerajaan Negeri akan berikan sokongan untuk pastikan hasrat ini dapat dilaksanakan," katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, persatuan itu harus meneruskan proses transformasi untuk kekal relevan dan diterima sepenuhnya oleh pucuk pimpinan negara dan negeri serta rakyat jelata, terutama dalam suasana Malaysia baharu.

“Pucuk pimpinan dan akar umbi PVATM adalah penyambung warisan dan perjuangan yang ditinggalkan oleh rakan-rakan seperjuangan terdahulu.

“Dengan kekuatan dan kesatuan yang ada, saya harap PVATM akan terus kekal wujud sebagai peneraju dan penggerak perjuangan semua veteran di Negeri Sembilan khasnya dan Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Perwakilan Kali Ke-66 Tahun 2019 Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan di IPG Kampus Raja Melewar, di sini, tempoh hari.

Turut hadir adalah Presiden PVATM, Kapten Dato' Haji Sharuddin Haji Omar dan Timbalan Presiden PVATM, juga merangkap Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan, Mejar Dato' Haji Sazali Haji Ismail.

Sementara itu, Sazali berkata, tanah seluas 40 ekar akan dibangunkan di Tampin sebagai perkampungan veteren dengan kediaman bakal dijual pada harga yang murah berbanding harga pasaran.

“Kita juga akan bina dua unit rumah untuk veteren yang kurang upaya termasuk madrasah.

"(Bagi) veteren yang tak ada keluarga dan hidup sendiri, kita akan ambil dan letakkan di perkampungan ini untuk dijadikan sebagai keluarga angkat,” katanya.

Pada majlis tersebut, Aminuddin mengumumkan pemberian sumbangan berjumlah RM150,000 kepada PVATM Negeri Sembilan.

Selain itu, bapa Aminuddin, Tuan Haji Harun Selamat turut dianugerahkan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) yang disampaikan melalui Aminuddin.