JKM BERUSAHA MENJEJAK KELUARGA TERLIBAT

Isnin     08 Oktober 2018          

08 oct 1-1.jpg

SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan telah cuba menjejaki enam beranak yang berdepan kesempitan hidup hingga terpaksa tinggal dalam khemah di Pantai Saujana, Port Dickson.

JKM dalam satu kenyataan berkata, keluarga terbabit bagaimanapun tidak dijumpai di lokasi berkenaan semasa pencarian dilaksanakan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Port Dickson pada tengah hari tadi.

"Pihak jabatan akan terus berusaha menjejaki keluarga ini dan akan bekerjasama dengan agensi lain, bagi mendapatkan tempat tinggal yang sesuai untuk mereka," katanya.

Selain itu katanya, berdasarkan semakan terhadap rekod jabatan pula mendapati keluarga tersebut masih menerima bantuan kewangan seperti sebelum ini.

"Penama (si suami) masih lagi dapat bantuan melalui Skim Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM400 dan Bantuan Kanak-Kanak sebanyak RM300 atas nama isteri, sejak 2017.

"Tiada isu penama (si suami) ditamatkan bantuan. Sebaliknya bantuan berkenaan yang disalurkan kepada penama menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), masih aktif," katanya.

Nasib menimpa enam beranak itu mula tular dalam laman media sosial, selepas kisah mereka dilaporkan menerusi portal BH Online hari ini.

Difahamkan sudah lima hari mereka berkeadaan sedemikian, gara-gara tidak mampu membayar sewa rumah berjumlah RM350 sejak beberapa bulan lalu di Taman Desa PD.

Menurut si suami, sebelum itu mereka ada menumpang di rumah saudara buat sementara waktu tetapi membuat keputusan untuk keluar atas sebab tertentu.

"Saya Orang Kurang Upaya (OKU) akibat kemalangan motosikal 11 tahun lalu. Sebelum ni, saya dapat bantuan JKM sebanyak RM400 dan isteri RM300 sebulan.

"Malangnya bantuan JKM yang diterima sejak setahun lalu dihentikan dan keadaan jadi lebih teruk kerana saya tak mampu buat kerja berat," katanya.

Katanya, dia dimaklumkan oleh kakitangan JKM Port Dickson bahawa bantuan bulanannya lewat berikutan ada masalah kemas kini akaun jabatan berkenaan.

"Bagi mencari belanja terutama untuk susu anak, saya dan isteri berusaha berniaga air dan buah potong di pantai ni dan pendapatan kami tak menentu," katanya.