PENGUSAHA RESORT PANTAI HILLS DIBERI TEMPOH SEHINGGA OKTOBER

Khamis, 8 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/2

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberi tempoh sehingga Oktober depan kepada 18 resort di Pantai Hills, di sini, untuk mendapatkan lesen beroperasi daripada Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Tuan Teo Kok Seong berkata, pihaknya telah menjalankan proses pemutihan sejak Jun lalu bagi memberi ruang kepada semua pengusaha resort terbabit.

"Pada bulan Jun, saya bersama ketua-ketua jabatan yang terlibat telah bertemu pengusaha resort dan kita dah beri mereka tempoh untuk memohon bagi mendapatkan kebenaran daripada MPN," katanya.

Menurutnya sehingga kini, kira-kira 30 peratus daripada kesemua resort berkenaan telah mengemukakan permohonan kepada MPN.

Bagaimanapun tegasnya, insiden remaja yang hilang sama sekali tiada hubung kait dengan isu pelesenan berikutan resort-resort tersebut telah beroperasi lebih 10 tahun dan cukup berpengalaman.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mewakili Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Wanita, keluarga dan Kebajikan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon berkata, pihak Kerajaan Negeri sedia memberi bantuan kepada keluarga Nora Anne Quoirin.

"Saya ada beri mesej pada PIC, Ketua Polis Daerah Nilai supaya disampaikan kepada mereka (keluarga mangsa) yang saya nak jumpa mereka. Jadi, kita tahu apa yang boleh ditolong.

"Banyak pihak dah terlibat (membantu) dan usaha akan tambah (dipergiatkan) lagi. Kita punya kaedah WhatsApp untuk tularkan (sebarkan) berita, saya harap kita guna dengan cara positif (supaya) dapat cari remaja tersebut," katanya.