SUPER MEGA GATHERING HIMPUN LEBIH 3,500 PEMINAT K-CAR DAN BMX

Isnin, 08 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Wartawan Lokasi: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nurul Haryani Hasrol

1/9

SEREMBAN: Acara 'Super Mega Gathering K-Car Life & BMX Back to 80s' yang diadakan buat julung kalinya di Negeri Sembilan, telah berjaya menghimpunkan lebih 3,500 peminat.

Program anjuran bersama D'Sora Boutique Business Hotel dengan sokongan pemaju hartanah terkemuka iaitu Matrix Concepts Holdings Berhad itu berlangsung di D'Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, pihaknya berhasrat menjadikan aktiviti berkenaan sebagai acara tahunan.

"Satu kejayaan buat Negeri Sembilan kerana program ini menjadi himpunan yang terbesar (bagi peminat K-Car dan BMX) setakat ini, dengan penyertaan lebih 3,500 peserta.

"Saya dah bincang dengan penganjur. Mungkin kita boleh cadangkan untuk menjadikan himpunan mega super ini sebagai acara tahunan, berdasarkan sambutan yang baik (diterima)," katanya.

Selain berfungsi sebagai platform untuk golongan belia mempamerkan kreativiti masing-masing, kata beliau, himpunan itu mampu merapatkan ukhuwah antara peminat K-Car dan BMX.

"Pada masa sama, kita ada ruang untuk berniaga food truck atau kendera saji yang juga terdiri daripada anak-anak muda.

"Kerajaan Negeri akan sentiasa bersama anak muda dalam memastikan minat dan apa yang mereka inginkan itu dapat dipenuhi," katanya.

Dalam program sehari berkenaan, lebih 3,000 kereta kompak iaitu Perodua Kancil; Kelisa dan Myvi serta lebih 500 basikal BMX dipamerkan.

Acara tersebut turut disertai peserta luar negara antaranya dari Singapura, Indonesia dan Thailand.