PRESTASI PELABURAN DI NEGERI SEMBILAN TERUS MENINGKAT

Oleh: Mohd Amin Jalil       Selasa, 09 Januari 2019 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan yakin nilai pelaburan domestik dan antarabangsa di negeri ini akan terus meningkat pada masa depan berdasarkan iklim pelaburan yang sihat dan memberangsangkan.

Perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China ketika ini jelas memberi impak positif apabila ramai pelabur antarabangsa beralih arah dan terus minat melabur di negeri ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, ini dapat dilihat pada rekod sepanjang tahun 2017 yang mencatatkan jumlah perdagangan Negeri Sembilan meningkat sebanyak 50.78 peratus iaitu RM11.72 bilion berbanding RM7.8 bilion pada tahun 2016.


"Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2018 pula, jumlah perdagangan melalui Negeri Sembilan adalah sebanyak

RM10.81 bilion berbanding RM9.37 bilion pada tempoh yang sama pada tahun 2017.

"Ini menunjukkan perkembangan menggalakkan dan Negeri Sembilan dilihat antara destinasi utama pelaburan pelbagai syarikat antarabangsa daripada Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

"Kita yakin lebih ramai pelabur akan terus melabur di negeri ini pada masa depan menerusi pelbagai projek dan insentif yang sudah dibuka antaranya Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dan Hab Penerbangan yang dirancangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kerajaan negeri, di Bandar Seri Sendayan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri MITI, Datuk Darell Leiking; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malek; Pegawai-Pegawai Kanan MITI dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri tidak akan menetapkan sasaran nilai pelaburan yang statik sebanyak RM1 bilion setahun seperti sebelum ini, tetapi berhasrat untuk meningkatkan lagi nilai itu ke paras lebih tinggi.

"Kita berhasrat untuk menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa melabur di negeri ini dan yakin petunjuk prestasi sebanyak RM1 bilion nilai pelaburan setahun boleh ditingkatkan lagi.

"Melalui kerjasama dan sokongan MITI dalam menjayakan MVV dan hab penerbangan, kita percaya nilai pelaburan akan terus meningkat pada masa akan datang," katanya.

Katanya, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini dan menerusi pelaburan berkenaan, matlamat itu boleh dicapai sekali gus berupaya meningkatkan taraf hidup.

Sementara itu Darell berkata, terdapat minat yang semakin bertambah dalam kalangan pelabur untuk datang ke sini sejak perang dagangan berkenaan dan pertukaran kerajaan selepas pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, ramai pelabur sama ada AS atau China dilihat mahu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan baharu.

"Ini adalah satu petanda baik bagi Malaysia. Kementerian akan berganding bahu dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri bagi menjayakan usaha ini.

“Antaranya mengalakkan pelabur berprestasi tinggi datang ke zon pertumbuhan ekonomi baharu iaitu Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) di sini,” katanya.

Kedua-dua pemimpin berkenaan kemudiannya melawat kilang Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd. (syarikat menghasilkan produk seperti enjin, komponen enjin dan alat ganti) dan PureCircle Sdn Bhd (syarikat menghasilkan produk Stevia) di Sendayan dan Enstek.

1/7