LAPORAN POLIS TERHADAP PEMFITNAH MB

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Jumaat, 08 Februari 2019 

1/3

KUALA PILAH:  "Ini satu fitnah yang amat jelik," luah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Mokhtar Haji Ahmad.

 

Demikian reaksi beliau ketika mengulas tohmahan dilemparkan oleh seorang pemilik akaun Facebook terhadap Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun membabitkan isu solat Subuh berjemaah.

 

Menurutnya, pembohongan yang tular di laman siber itu amat serius memandangkan Menteri Besar tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu.

 

Sehubungan itu katanya, pihaknya melalui Setiausaha Akhbar Menteri Besar telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, hari ini.

"Saya dah maklumkan perkara ini kepada Menteri Besar yang kebetulan berada di Kuala Pilah. Saya telah diarahkan untuk buat laporan polis bagi pihak Menteri Besar. 

 

"Jadi kita minta PDRM (Polis Diraja Malaysia) bersama SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk buat siasatan lanjut.

 

"Perlu ambil tindakan sewajarnya dalam kadar segera, supaya perkara sebegini tak berlarutan dalam kalangan netizen," katanya yang menyedari fitnah berkenaan sekitar jam 7 petang semalam.

 

Secara tidak langsung kata Mokhtar, tindakan diambil merupakan amaran kepada pihak yang menabur fitnah agar lebih berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan terutama di media sosial.

 

"Dato' Seri (Menteri Besar) memang menafikan yang beliau pernah menyatakan perkara tersebut," katanya kepada NS Daily ketika ditemui di luar kawasan IPD Kuala Pilah, di sini.  

 

Sebelum itu, Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun menyifatkan tohmahan tersebut sebagai dangkal dan cukup berniat jahat.

 

"Boleh check (semak) ucapan saya di mana-mana, (untuk buktikan) saya ada (buat) ucapan sebegitu atau tak.

 

"Sebab ia cukup memalukan dan tak sepatutnya (berlaku). Saya harap yang buat perkara (fitnah) ini harus sedar bahawa kita ada hukum, adab dan kesabaran. 

 

"Saya rasa perlu dijaga perkara tersebut," katanya selepas menyampaikan amanat kepada kira-kira 600 penjawat awam pada Perhimpunan Pagi Pentadbiran Kuala Pilah di Dewan Dato' Bahaman, di sini.