USAHA PERKASAKAN JAPEN DITERUSKAN

Ahad, 8 Disember 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

KUALA PILAH: Usaha untuk memperkasakan Jabatan Penerangan (JAPEN) di seluruh negara akan diteruskan menerusi peruntukan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020, pada Oktober lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tuan Eddin Syazlee Shith berkata, sejumlah peruntukan yang diberikan itu sangat munasabah bagi memudahkan JAPEN beroperasi dengan selesa dan selamat.

"Kami akui banyak peralatan dah ketinggalan zaman atau outdated. Selain itu, kami juga melihat (jawatan) pegawai penerangan di lapangan masih banyak yang kosong.

"Kami perlukan mereka sebagai penghubung dan 'lidah rasmi kerajaan' untuk menangani isu yang boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara.

"Oleh itu, kami kena pastikan dari segi pejabat; peralatan dan kakitangan berada dalam keadaan baik supaya mereka dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diberi," katanya.

Mengulas lanjut, Eddin Syazlee berkata, semua permasalahan itu perlu diteliti termasuk memperbaharui kemudahan bagi membolehkan JAPEN mendepani era digital dengan lebih baik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Khatan Perdana Peringkat Daerah Kuala Pilah 2019 di Masjid Jamek Yamtuan Raden, di sini, semalam.